General

Jalinan Kasih Ramadan Kareem Bersama Komuniti (PASAK) perkukuh kerjasama antara SAPSP dan komuniti FELDA Bukit Tangga

Gambar Dr. Nurhazlina Mohd Ariffin

SINTOK, 10 Mac 2026: Program Jalinan Kasih Ramadan Kareem Bersama Komuniti (PASAK) 2026 anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung di Dapur Rahmah, Pusat Islam UUM pada Ahad lalu.

Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad berkata, program ini dianjurkan sebagai satu inisiatif bagi memperkukuhkan kerjasama antara SAPSP dan komuniti FELDA Bukit Tangga bersempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Selain itu, menurutnya, program ini turut bertujuan menyemarakkan nilai kasih sayang, kebajikan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga SAPSP bersama komuniti serta agensi setempat.

Melalui kerjasama pelbagai pihak, peserta yang terdiri daripada pelajar, wakil komuniti dan rakan strategik program telah bergotong-royong menyediakan empat periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat.

Aktiviti memasak yang berlangsung dalam suasana penuh muafakat ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti.

Dr. Zarina berkata, program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah menjadi medium untuk merapatkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat.

Menurutnya, penglibatan mahasiswa bersama komuniti dalam aktiviti kesukarelawanan seperti ini mampu memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial serta semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat secara langsung, di samping menghayati nilai kemanusiaan dan kebajikan yang menjadi teras dalam pembangunan insan yang seimbang,” katanya.

Bubur lambuk yang disediakan kemudiannya diagihkan kepada masyarakat setempat serta beberapa komuniti dan organisasi terpilih termasuk komuniti FELDA Bukit Tangga, Masjid UUM, staf SAPSP, Masjid Zainal Abidin, Masjid Ali Bin Abi Talib Perlis, kejiranan Taman Teja, Penaga dan Taman Mahogany, PDK Changlun, PEWARIS, Balai Polis Changlun, Masjid Kampung Padang Ludap, Masjid Ihya Ulumuddin Changlun, INASIS MAS serta Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim.

Selain itu, beberapa wakil daripada PEWARIS turut disantuni melalui aktiviti senaman ringan serta sesi perkongsian maklumat dan interaksi sosial yang dikendalikan oleh salah seorang tenaga pengajar SAPSP.

Program PASAK 2026 turut diserikan dengan kehadiran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil komuniti termasuk PEWARIS serta wakil komuniti FELDA Bukit Tangga daripada Majlis Belia dan Gerakan Wanita FELDA Bukit Tangga.

Program ini juga melibatkan penyertaan wakil mahasiswa daripada pelbagai semester termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, pelajar antarabangsa serta alumni SAPSP yang turut mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti gotong-royong dan pengagihan bubur lambuk.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang dihasratkan apabila bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong dan berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan, malah turut mengeratkan hubungan antara warga SAPSP dan masyarakat setempat. – Khairul Anuar Ahmad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button