General

Kerjasama MBAS dan UUM perkukuh kesiapsiagaan dalam hadapi bencana

Gambar Mohd Fuad Hamid

ALOR SETAR, 27 Januari 2026: Bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan serta daya tahan komuniti dalam menghadapi bencana, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Simposium Bersatu Hadapi Bencana: Kolaborasi MBAS-Universiti Utara Malaysia Ke Arah Komuniti Berdaya Tahan 2025 di Bangunan UTC, hari ini.

Simposium ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan, komuniti dan institusi akademik dalam menghadapi risiko bencana bandar seperti banjir, tanah runtuh dan kejadian tidak dijangka lain yang akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Penutup simposium telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Maklumat Negeri Kedah (CDO), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa dan turut serta Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Pada masa sama, beliau turut meluncurkan Program Doktor Falsafah (PhD) Teknologi Maklumat dan Sains Komputer (Pengkhususan Geoinformatik) di bawah Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), UUM.

Dr. Nadzman berkata, kerjasama strategik MBAS-UUM terus diperkukuhkan melalui agenda pemindahan ilmu, penyelidikan berimpak serta penggunaan teknologi untuk komuniti.

Menurutnya, inisiatif ini juga disokong melalui tajaan serta kerjasama dengan agensi antarabangsa termasuk Erasmus+, Netherlands Organization for Internationalization in Education (NUFFIC) dan German Academic Exchange Service (DAAD) selaras dengan aspirasi pengantarabangsaan dan pembangunan penyelesaian bencana berasaskan inovasi global.

Katanya, semua orang perlu menerima hakikat tentang bencana ini, namun tidak semua insiden atau bencana itu memberikan kesan negatif, malah ada yang membawa perubahan positif yang tidak disedari.

“Pengurusan bencana ini kita tidak boleh berdiri sendiri untuk tanganinya dan ianya perlu melibatkan pelbagai agensi.

“Antaranya, UUM yang mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan, malah UUM juga bakal memperkenalkan Program Doktor Falsafah (PhD) Teknologi Maklumat dan Sains Komputer (Pengkhususan Geoinformatik) bermula hari ini sebagai laluan pembangunan kepakaran penyelidikan dalam bidang bencana dan spatial,” katanya.

Dr. Nadzman merakamkan ucapan tahniah kepada MBAS dan UUM atas komitmen memimpin agenda penting ini dalam melahirkan komuniti yang lebih bersedia, berinformasi dan berdaya tahan, sekali gus menyokong agenda pembangunan bandar pintar serta pengurusan bencana berasaskan data.

Sementara itu, Dr. Ahmad Martadha berkata, simposium ini merupakan satu kerjasama strategik sebagai persediaan untuk menghadapi bencana.

Menurutnya, ini melambangkan komitmen UUM untuk memperkasakan penyelidikan berasaskan teknologi digital dan analitik spatial dalam menangani cabaran bencana secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

“Selain menyediakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pengurusan bencana, simposium ini membincangkan peranan teknologi digital dan geoinformatik dalam pengurusan risiko bencana bandar yang lebih proaktif dan tepat.

“Dalam kita melancarkan Program PhD Teknologi Maklumat/ Sains Komputer (Pengkhususan Geoinformatik), kita ingin menggalakkan penglibatan MBAS serta agensi berkaitan sebagai rakan strategik bagi menyokong penyelidikan pelajar PhD,” katanya.

Simposium ini menampilkan tiga slot iaitu Slot 1 ‘Flood Hotspots Dissected: Strategies & Impactful Dispersal’ dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Slot 2 ‘Moments of Anxiety: Wise Actions in the Face of Unexpected Disasters’ dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Slot 3 ‘Learning Without Borders: A Lifelong Learning Opportunity Abroad’ dari UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button