Kisah Yanuar Maulana, alumni UUM kini Pengurus Besar Petronas Singapura
Gambar Ihsan Yanuar Maulana
PUTRAJAYA, 5 April 2026: Dari sebuah kampus yang dikelilingi kehijauan hutan Sintok, lahir kisah kejayaan yang merentas sempadan negara.
Inilah perjalanan inspirasi seorang alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Yanuar Maulana, bukti bahawa pendidikan mampu mengubah nasib dan membuka pintu dunia.

Yanuar Maulana merupakan anak kedua kepada Surya Burhanuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Surya, seorang tokoh yang telah banyak berjasa dalam membawa pelajar Indonesia melanjutkan pengajian ke Malaysia sejak tahun 1996.
Hubungan beliau dengan UUM bermula melalui Yanuar sendiri, yang mendaftar dalam program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) pada 1998.
Selepas menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya di Kuala Lumpur, Yanuar kembali semula ke UUM untuk menyambung pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Keputusan tersebut ternyata menjadi asas kukuh kepada perjalanan kerjayanya yang cemerlang.
Selepas bergraduasi pada 2005, beliau memulakan kerjaya bersama PETRONAS. Dengan pengalaman luas merentasi pelbagai bidang, beliau terus melakar kejayaan sehingga diberi kepercayaan sebagai Pengarah PETRONAS bagi operasi di Filipina selama enam tahun (2019–2025).
Beliau juga merupakan satu-satunya ekspatriat yang memegang jawatan tersebut di peringkat negara ketika itu, satu pencapaian yang amat membanggakan.

Kini, Yanuar Maulana meneruskan kecemerlangannya di peringkat antarabangsa sebagai Pengurus Besar, International Trading for Chemical Products di Singapura.
Kisah kejayaan Yanuar ini sebenarnya hanyalah sebahagian daripada naratif besar yang diceritakan dalam buku hasil karya Pak Surya bertajuk ’30 Tahun Menuntun Ratusan Generasi Muda Menggapai Dunia’.
Buku setebal 356 halaman ini merakamkan perjalanan hidup beliau yang sarat dengan perjuangan, bukan sahaja dalam membina kerjaya dan keluarga, tetapi juga dalam membimbing ratusan anak muda Indonesia untuk mendapatkan pendidikan tinggi di Malaysia.
Melalui buku ini, Pak Surya berkongsi pengalaman selama lebih 30 tahun dalam usaha membawa pelajar ke-16 institusi pengajian tinggi di Malaysia, termasuk lebih 500 orang ke UUM. Lebih menyentuh hati, usaha ini bukan sekadar akademik, tetapi turut melibatkan aspek kebajikan apabila beliau menaja pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk anak yatim, anak buruh dan mereka yang datang dari latar kehidupan yang mencabar.
Daripada kesusahan, mereka bangkit melalui pendidikan dan kini menjadi individu berjaya yang menyumbang di pelbagai bidang serta negara.

Dalam masa yang sama, Pak Surya turut berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Matadha Mohamed di Putrajaya.
Pertemuan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan yang telah terjalin sekian lama, tetapi juga menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dengan UUM.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa kejayaan bukan berlaku secara kebetulan, tetapi lahir daripada gabungan usaha, pengorbanan dan kepercayaan terhadap kuasa ilmu.
Ilmu adalah kunci kepada kejayaan dunia dan akhirat.
Dan pendidikan adalah jambatan yang menghubungkan impian dengan realiti.
Perjalanan Yanuar Maulana dari Sintok ke pentas antarabangsa, membuktikan bahawa tiada yang mustahil apabila peluang dimanfaatkan sepenuhnya. – Kori Ariff



