General

Lantikan Dato’ Charon Wardini sebagai Ceo@Faculty kukuhkan hubungan akademik-industri

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Dato’ Charon Wardini Mokhzani di Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), baru-baru ini.

Kunjungan hormat ini diadakan bagi menyampaikan surat lantikan Dato’ Charon Wardini yang telah dilantik sebagai Ahli CEO@Faculty Programme Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Universiti Utara Malaysia berkuat kuasa mulai 16 Mac 2025 hingga 31 Disember 2026.

Dato’ Charon Wardini merupakan Ahli CEO@Faculty Programme kepada Pusat Pengajian Undang-Undang dan lulusan Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Balliol College, University of Oxford, dan juga Sarjana Muda Undang-Undang dari School of Oriental and African Studies, University of London.

Beliau berpengalaman luas dan mempunyai rekod pencapaian cemerlang memegang pelbagai jawatan penting di sektor korporat, pelaburan serta sektor berkaitan kerajaan seperti Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas Institut Penyelidikan Khazanah, Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad, Pengerusi Principal Asset Management Berhad dan juga merupakan Rakan Kongsi Pengurus di firma guaman Zaid Ibrahim & Co. Kini YBhg.

Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi EXIM Bank dan baru dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Kunjungan hormat SOL yang diwakili oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah, dan Pengarah Legal & Justice Research Centre, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman, telah membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lantikan Dato’ Charon Wardini sebagai ahli CEO@Faculty Programme.

Dr. Mohammad Azam berkata, antara aktiviti utama yang menjadi fokus perbincangan adalah melibatkan sesi perkongsian ilmu dan amalan industri, lawatan industri, peluang latihan industri (industrial training) di EXIM Bank dan Kumpulan Takaful Malaysia dan kerjasama dalam aktiviti bersifat tanggungjawab sosial korporat.

Selain itu perkongsian pintar antara UUM dan EXIM Bank dan Kumpulan Takaful Malaysia juga antara agenda lanjut yang akan dibincangkan dari semasa ke semasa.

Pelantikan Dato’ Charon Wardini sebagai Ahli CEO@Faculty Programme dilihat akan memberikan banyak manfaat dan berupaya membantu pihak pengurusan universiti dalam usaha untuk memajukan UUM serta merealisasikan visi untuk menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button