Lawatan Duta Besar China perkukuh hubungan UUM–China melalui pendidikan dan penyelidikan
Gambar oleh Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 5 November 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing, dalam satu majlis yang berlangsung di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), UUM Sintok, hari ini.

Lawatan tersebut menjadi simbol jalinan erat antara UUM dan Kedutaan China, khususnya dalam memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan serta pembangunan bakat pelajar di kedua-dua negara.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang hadir mewakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Azizuddin menegaskan bahawa kunjungan tersebut bukan sekadar acara rasmi, tetapi merupakan manifestasi persahabatan, ilmu dan kerjasama yang menjadi teras hubungan antara Malaysia dan China.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan China atas sokongan berterusan melalui Biasiswa Kedutaan China yang mula diperkenalkan pada tahun 2023.

Seramai 29 orang pelajar cemerlang dari SoIS, UUM menerima Biasiswa Kedutaan China dalam majlis tersebut.
Menurut beliau, biasiswa tersebut telah memberi impak besar kepada komuniti akademik UUM dengan membuka peluang pendidikan, mengurangkan beban kewangan pelajar serta memupuk semangat kecemerlangan dan keprihatinan global.
“Biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi lambang visi bersama Malaysia dan China untuk melahirkan generasi cendekiawan serta pemimpin masa depan yang menghargai persefahaman budaya, hormat-menghormati dan kerjasama antarabangsa,” ujar beliau.

Sementara itu, Ouyang Yujing berkata, pihaknya berharap agar UUM terus mencapai kejayaan dalam melahirkan lebih ramai bakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan memenuhi keperluan masyarakat.
Selain itu, turut diadakan majlis penyampaian replika cek dan pelancaran buku bertajuk Malaysia–China: Half a Century of Partnership, yang dihasilkan oleh penerima biasiswa dan ahli akademik UUM, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China yang terjalin sejak tahun 1974.
Turut hadir, Datuk Adzli Abu Shah (Ketua Polis Kedah), Dato’ Muhammad Abdul Halim (Ketua Polis Perlis), Zuraini Mohd Yussof (Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kedah), Prof. Madya Dr. Nazariah Osman (Dekan SoIS), pegawai-pegawai kanan Kedutaan China serta warga universiti.


