General

Lawatan kedua CUIC ke Maxis Berhad perkukuhkan lagi kerjasama strategik

KUALA LUMPUR, 4 Disember 2024: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM), sekali lagi melangkah ke hadapan dalam usaha mengukuhkan hubungan dengan industri melalui lawatan kerja kedua ke Maxis Berhad.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, lawatan ini bertujuan untuk memperluas jaringan kerjasama antara universiti dan industri, khususnya dalam menyokong agenda pembangunan digital negara.

Menurutnya, dengan fokus terhadap pelbagai bidang strategik, perbincangan yang berlangsung bukan sahaja memberikan peluang untuk meneroka potensi penyelesaian digital dan inovasi teknologi, tetapi juga untuk memupuk keusahawanan sosial, memajukan bidang e-sukan, dan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan kempen mesra alam seperti e-waste.

“Kerjasama ini dijangka memberikan impak positif terhadap pembangunan pelajar, penyelidikan universiti, dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, sekali gus menjadikan UUM sebagai hab kecemerlangan akademik yang terhubung rapat dengan keperluan industri,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jaringan Industri CUIC, Dr. Normalisa Md Isa; Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron; Pengarah Pusat Pengujian Pengukuran dan Penilaian, Prof. Madya Dr. Masnita Misiran; Penyelaras Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Dr. Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim dan Penyelaras Keusahawanan Sosial, CEDI, Fatin Athirah Fadzillah.

Pihak Maxis pula diketuai oleh Ketua Government Engagement & Sustainability Corporate Affairs, Abdur Rahman Ansary.

Kolaborasi ini diharapkan akan memacu agenda transformasi digital, inovasi teknologi, dan inisiatif lestari untuk manfaat bersama antara universiti dan industri. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button