Lawatan SOL ke Pejabat Ketua Hakim Negara tukar pandangan tentang perkembangan semasa
Gambar Pejabat Ketua Hakim Negara
PUTRAJAYA, 5 April 2026: Delegasi daripada Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Jumaat lalu di Pejabat Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman.
Delegasi tersebut diketuai oleh Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab selaku Penolong Naib Canselor UUM COLGIS.

Dalam pertemuan tersebut, pihak delegasi telah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Wan Ahmad Farid atas pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara.
Selain itu, ucapan tahniah turut dizahirkan atas penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima yang diterima oleh beliau baru-baru ini.
Sesi perbincangan turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan berkaitan perkembangan semasa dalam profesion guaman dan pendidikan undang-undang di Malaysia.
Dalam kesempatan tersebut, Dr. Harlida turut menjemput Yang Amat Arif Datuk Seri Utama untuk menyampaikan syarahan di UUM yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober akan datang.
Dalam sesi yang sama, Yang Amat Arif turut berkongsi pandangan berhubung cabaran yang dihadapi oleh peguam muda, khususnya dalam kalangan graduan baharu.
Beliau menekankan bahawa terdapat kekurangan dari segi pemahaman terhadap nilai sebenar profesion guaman, termasuk aspek etika, tanggungjawab sosial, dan integriti profesional.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar institusi pengajian tinggi, khususnya pusat pengajian undang-undang, terus memperkukuh pendekatan pendidikan yang memberi penekanan kepada pembentukan nilai dan jati diri pelajar, selain daripada aspek akademik semata-mata.
Dr. Harlida berharap agar kunjungan hormat ini diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan strategik antara institusi kehakiman dan akademia dalam usaha melahirkan graduan undang-undang yang holistik, beretika dan kompeten.
Turut hadir dalam delegasi tersebut ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd. Anuar dan Pensyarah Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusoff. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah



