MoF cadang bukukan kisah kejayaan Projek Fertigasi Cili dan Kambing
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 19 November 2024: Kementerian Kewangan (MoF) mencadangkan penyeldik Universiti Utara Malaysia membukukan cerita kejayaan Projek Fertigasi Cili atau Development of Modern Agriculture (D’MAC) dan Projek Kambing untuk Rakyat (PROKar).
Dua inisiatif di bawah Program Perusahaan Sosial Kementerian Kewangan (SE-MOF-UUM) dengan peruntukan RM825,000 itu berjaya membangunkan potensi komuniti setempat.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perolehan Kerajaan MoF, Fakhrunrozi Jamaludin turut mengucapkan tahniah kepada UUM kerana berjaya melaksanakan program yang diberikan MOF bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Sebanyak lapan universiti dan dua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam projek ini. Kebanyakkan peserta terlibat bukan sepenuh masa tetapi ia merupakan satu tambahan pendapatan untuk mereka yang mengambil bahagian.
“Ini adalah cerita-cerita kejayaan dan diharapkan kisah ini dapat dibukukan untuk rujukan masa depan,” katanya pada Majlis Penutup Program Perusahaan Sosial Kementerian Kewangan (SE-MOF-UUM) di EDC UUM, pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Ketua Program Projek Perusahaan Sosial (SE-MoF-UUM), Prof. Dr. Mukaramah Harun; Ketua Projek Kambing untuk Rakyat (PROKar), Prof. Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Ketua Projek Development of Modern Agriculture (D’MAC), Dr. Rozana Samah.
Sementara itu, Dr. Russayani berkata, kejayaan dua projek iaitu D’MAC dan PROKar mencerminkan keprihatinan MOF terhadap kesejahteraan ekonomi masyarakat membabitkan 30 peserta terdiri daripada masyarakat setempat.
Katanya, bagi projek fertigasi cili D’MAC yang mendapat penyertaan seramai 20 peserta dari Mukim Temin dan Mukim Sungai Laka merupakan satu usaha penting dalam memodenkan sektor pertanian tempatan melalui penggunaan teknologi fertigasi dan perkongsian bijak antara ahli akademik UUM dan rakan strategik.
“PROKar pula yang disertai seramai tujuh peserta bukan sahaja menyediakan sumber pendapatan melalui penternakan kambing tetapi turut menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
“Peserta dilatih dalam kemahiran penternakan dan penjagaan haiwan serta pemindahan ilmu dan khidmat nasihat daripada ahli akademik dan rakan strategik seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, KEDA, Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua projek ini telah mencipta banyak kejayaan yang membanggakan terutamanya dalam aspek lonjakan pendapatan, selain membuka peluang kerjasama strategik antara usahawan dan agensi kerajaan dan swasta, selain memperkasa kemahiran keusahawanan peserta.