Naib Canselor kunjungi KDEB teroka kerjasama strategik baharu pelbagai bidang
SHAH ALAM, 22 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan rasmi ke KDEB Waste Management Sdn Bhd yang diketuai Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.

Kehadiran mereka telah disambut Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir yang juga alumni UUM dan Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi.
Dr. Ahmad Martadha berkata, lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UUM dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama pihak industri dan agensi berkaitan.
Dalam pertemuan singkat itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KDEB atas kesudian menerima kunjungan delegasi UUM serta komitmen yang ditunjukkan dalam menyokong agenda pendidikan tinggi.
Beliau menegaskan hasil kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pembangunan universiti, malah berperanan penting dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berinovasi dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“UUM mengalu-alukan kerjasama strategik bersama KDEB yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan berterusan universiti, khususnya dalam aspek akademik, penyelidikan dan kebajikan warga kampus,” katanya.
Suasana pertemuan yang berlangsung dalam keadaan yang amat positif dan konstruktif itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama yang berimpak tinggi dan berterusan.

Fokus utama perbincangan adalah berkaitan bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang pembangunan pelajar dan staf, penyelidikan serta inisiatif endowmen.
Kerjasama baru ini dijangka dapat dimanfaatkan bagi tujuan memperkasa ekosistem penyelidikan universiti, merangsang inovasi, serta menyokong pembangunan bakat pelajar selaras dengan keperluan industri dan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama jangka panjang antara UUM dan KDEB dalam pelbagai bidang strategik, termasuk pembangunan modal insan, pemindahan ilmu serta penglibatan industri dalam aktiviti akademik dan penyelidikan.
Dalam masa sama, KDEB turut mengumumkan sumbangan sebuah televisyen bersaiz 55 inci kepada UUM sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa kemudahan universiti. – Kori Ariff



