General

Pasukan CEDI UUM bawa pulang pingat perak dan gangsa

Gambar Fatin Athirah Fadzillah dan Pelajar-pelajar KeSSISWA

SINTOK, 18 November 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) berjaya membawa pulang pingat Perak menerusi projek inovatif UniLab (Fish Harvest Technology) dan pingat Gangsa bagi projek Indigofera Protein Meal di Pertandingan Bicara Tuntas Akhir Keusahawanan Sosial (KeSSISWA).

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bersama Pusat Pembangunan Keusahawanan & EKS (CESMED), Universiti Kebangsaan Malaysia, untuk menghimpunkan idea-idea keusahawanan sosial yang berpotensi menyelesaikan cabaran masyarakat melalui inovasi.

Kejayaan projek ini adalah hasil daripada bimbingan Iskandar Adon (UUM), Dr Ummi Noor Nazahiyah Abdullah (UniMAP), bersama Penyelaras Unit Keusahawanan Sosial, CEDI, Fatin Athirah Fadzillah.

Pasukan pelajar yang terlibat terdiri daripada Haikal Abdul Rahim, Dania Kamilia Mohd Azhar, Nur Alleya Maisara Arman, Nurina Tihani Sabrina Rosdi (UUM) dan Muhammad Ikmal Alif Abdullah (UniMAP).

Sebanyak dua projek dimenangi iaitu Projek UniLab (Fish Harvest Technology) dan Projek Indigofera Protein Meal yang merangkul pingat perak dan gangsa.

Projek UniLab dicipta untuk memudahkan kerja-kerja pengambilan ikan di kolam air tawar, terutama sekali bagi golongan warga emas yang semakin sukar untuk menggunakan cara manual yang memerlukan kekuatan fizikal. Dengan teknologi ini, nelayan kolam air tawar, terutama di kalangan warga emas yang rentan, dapat melakukan aktiviti penuaian ikan dengan lebih selamat dan efisien. Teknologi ini bukan sahaja mengurangkan risiko kecederaan yang sering dihadapi oleh golongan tua akibat kerja-kerja manual di kolam, tetapi juga meningkatkan hasil tangkapan tanpa memerlukan tenaga fizikal yang besar.

Impian di sebalik inovasi ini adalah untuk menyokong kelangsungan hidup komuniti nelayan kolam air tawar melalui pendekatan keusahawanan sosial, yang memperkasakan mereka dengan kemahiran dan alat yang sesuai. Dengan adanya teknologi UniLab, komuniti ini mampu menambah pendapatan mereka secara lestari dan berterusan, sambil memastikan keselamatan dalam pekerjaan mereka terjamin.

Sementara Projek Indigofera Protein Meal pula membangunkan penyelesaian berdaya tahan dalam menyediakan sumber protein alternatif bagi makanan ternakan. Memandangkan kos makanan ternakan yang tinggi menjejaskan pendapatan petani kecil, projek ini menawarkan pilihan yang mesra alam dan kos efektif melalui penggunaan tumbuhan Indigofera yang kaya dengan protein. Melalui pendekatan ini, petani dapat mengurangkan kos operasi penternakan dan bergantung kepada sumber makanan yang mampan, sekali gus meningkatkan kemandirian ekonomi mereka.

Projek ini adalah satu lagi contoh bagaimana keusahawanan sosial dapat menyokong ekonomi komuniti setempat dengan cara yang lestari dan berimpak tinggi, memanfaatkan sumber alam sekitar dengan bijak demi memperbaiki kehidupan golongan petani. – Akmal Ahlami Md. Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button