Pelajar TISSA UUM dinobat juara ACCA terbaik Malaysia
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Zaimah Abdullah
SINTOK, 16 Mac 2025: Pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM), Ang Li Shin, dinobatkan sebagai pemenang hadiah ACCA Terbaik Malaysia bagi peperiksaan Disember 2024.
Ang Li Shin, 24, berjaya meraih markah tertinggi dalam negara bagi subjek Advanced Audit and Assurance, sekali gus menempatkan dirinya di kedudukan pertama di Malaysia.
Kejayaan cemerlang ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi, ketekunan, dan minat mendalamnya terhadap profesion perakaunan, tetapi turut mengangkat nama UUM ke persada global.
Mengulas pencapaiannya, Li Xin menzahirkan rasa syukur kepada keluarga, rakan-rakan dan para pensyarah yang telah menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah membimbing dan menyokong perjalanan ACCA saya terutamanya keluarga, rakan-rakan dan pensyarah.
“Saya ingin berkongsi satu kata-kata yang memberi inspirasi kepada saya: ‘Tidak kira betapa perlahan perjalanan kita, asalkan kita tidak berhenti’,” kata pelajar Sarjana Muda Perakaunan itu.
Penolong Naib Canselor COB yang juga Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa Li Shin.
“Kami sangat gembira melihat pelajar kami mencapai kecemerlangan dan diiktiraf oleh badan profesional perakaunan bertaraf antarabangsa seperti ACCA.
“Kejayaan Li Shin bukan sahaja mencerminkan usaha keras, ketahanan dan komitmennya, malah membuktikan kualiti pendidikan serta sokongan yang diberikan di TISSA-UUM,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen TISSA-UUM dalam membudayakan kecemerlangan akademik serta melahirkan graduan yang bersedia untuk cemerlang dalam industri perakaunan.
“Misi kami adalah untuk melahirkan pemimpin masa depan dalam bidang perakaunan yang berintegriti serta mampu memberi sumbangan bermakna kepada industri,” katanya.
Anugerah ACCA Prize Winner merupakan pengiktirafan berprestij yang hanya diberikan kepada individu dengan keputusan peperiksaan luar biasa. TISSA-UUM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ang Li Shin serta para pelajar lain yang turut berjaya, dan berharap agar mereka terus mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya profesional masing-masing.