Penyelidik UUM cadangkan sistem pembuatan keputusan yang diperbaharui untuk tingkat strategi pekebun kecil sawit Malaysia
Gambar Dr. Muhammad Zakir Abdullah
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Shri Dewi Applanaidu dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), yang juga felo penyelidik Economic and Financial Policy Institute (ECoFI) elah dijemput oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk membentangkan dua Sistem Pembuatan Keputusan (DSS) inovatif mereka iaitu Malaysian Oil Palm Plantation Investment Decision Support System (MyOPPIDeX) dan Oil Palm Plantation Investment Web Decision Support System (OPPIWebDeX) serta cadangan DSS yang baharu.
Turut bersama, Dr. Muhammad Zakir Abdullah dan Dr. Muhammed Abdullahi Baba, Prof. Madya Dr. Norhaslinda Zainal Abidin dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, dan Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin dari Pusat Pengajian Pengkomputeran.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan Industri Sawit dan Sago (BISS), KPK, Severinus Tukah. Hadir sama, pegawai-pegawai dari BISS, KPK serta wakil dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang terdiri daripada Unit Penyelidikan Tekno-Ekonomi, Bahagian Pengembangan Pekebun Kecil dan Pensijilan, serta Unit Teknologi Maklumat.
Kedua-dua sistem ini, yang telah mendapat hak cipta pada tahun 2017, dibangunkan untuk membantu pekebun kecil sawit membuat keputusan pelaburan yang tepat serta mampu menjana keuntungan dalam penanaman sawit. Menariknya, MyOPPIDeX pernah memenangi dua pingat iaitu emas dan perak di dua pertandingan inovasi antarabangsa pada tahun 2017. Pasukan penyelidik UUM turut mencadangkan sistem baharu iaitu Malaysian Smallholders Oil Palm Plantation Investment Web-based Decision Support System (MySOPPI-WebDeX), yang bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan membuat keputusan.
Dr. Shri berkata, objektif utama lawatan ini adalah untuk berkongsi pandangan mengenai penambahbaikan DSS yang sedia ada bagi pekebun kecil sawit dan memperkukuhkan kerjasama antara KPK dan MPOB dalam meningkatkan strategi pembuatan keputusan dalam konteks penanaman pokok sawit baharu serta penanaman semula pokok sawit yang tidak produktif bagi pekebun kecil sawit di seluruh Malaysia.
MyOPPIDeX ialah platform interaktif berasaskan permainan yang menggunakan System Dynamics (SD) untuk mensimulasikan pelbagai strategi penanaman sambil mengambil kira faktor ekonomi seperti harga minyak sawit mentah, dasar kerajaan, dan kos agronomi. Sistem ini juga merangkumi elemen kelestarian seperti pensijilan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), membolehkan pengguna meneroka pelbagai strategi bagi meningkatkan keuntungan yang dijangka.
Berdasarkan MyOPPIDeX, OPPIWebDeX pula dibangunkan sebagai platform berasaskan web yang lebih mudah diakses. Sistem ini membolehkan pekebun kecil mensimulasikan intervensi penanaman, menilai potensi keuntungan, dan membuat keputusan yang lebih tepat.
Menyedari keperluan untuk menambahbaik sistem-sistem yang sedia ada agar lebih adaptif kepada perubahan yang telah berlaku dalam industri sawit, pasukan penyelidik UUM turut mencadangkan MySOPPI-WebDeX, yang mampu meningkatkan kemampuan sistem sebelumnya dengan menggabungkan data pasaran terkini, kesan perubahan iklim, dan keperluan pensijilan terkini seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).
Salah satu ciri utama sistem ini adalah keupayaannya untuk membimbing pekebun kecil mengenai strategi penanaman pokok baharu serta penanaman semula pokok yang tidak produktif bagi memastikan keuntungan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Menariknya, sistem yang dicadangkan ini dijangka menghasilkan simulasi pelaburan penanaman sawit dalam bentuk dashboard.
Cadangan pembangunan MySOPPI-WebDeX bertujuan untuk memperkasakan lagi pekebun kecil sawit dengan DSS berasaskan data terkini yang sejajar dengan piawaian kelestarian global. Kerjasama antara UUM, KPK, dan MPOB dijangka akan memperkukuhkan lagi pekebun kecil sawit serta mengurangkan risiko pelaburan, dan menyumbang kepada kelestarian jangka panjang sektor sawit di Malaysia. – Prof. Dr. Shri Dewi Applanaidu dan Dr. Muhammad Zakir Abdullah