General

PPKS puas hati perniagaan pelajar patuhi peraturan PESKON37

Gambar PPKS, UUM

SINTOK, 18 November 2024: Dalam usaha memastikan pematuhan peraturan dan keselamatan dalam perniagaan yang dikendalikan oleh usahawan pelajar, tinjauan telah dilaksanakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Khairul Anuar Adnan bersama staf PPKS di tapak Ekspo Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (PESKON-37), baru-baru ini.

Ekspo tahunan ini menampilkan pelbagai perniagaan, terutamanya yang berasaskan makanan dan minuman. Sebanyak 40 buah gerai dikhaskan untuk usahawan pelajar-pelajar UUM menjalankan perniagaan kali ini. Usahawan pelajar menawarkan pelbagai jenis makanan yang mewakili kepelbagaian kaum di Malaysia, termasuk masakan Melayu, Cina, dan India.

Khairul Anuar berkata, tinjauan ini bertujuan untuk memastikan bahawa setiap usahawan pelajar yang terlibat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti, termasuk keperluan memiliki Lesen B untuk perniagaan dan telah menjalani suntikan anti-tifoid bagi menjamin keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual kepada pelanggan.

Menurutnya, pematuhan kepada peraturan ini adalah langkah penting dalam menjaga keselamatan pelanggan dan memastikan kelancaran operasi perniagaan pelajar.

“Kami ingin memastikan setiap usahawan pelajar dapat menjalankan perniagaan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan, serta menitikberatkan kebersihan dan keselamatan makanan. Ini bukan sahaja untuk melindungi pelanggan, tetapi juga untuk membina asas yang kukuh bagi perniagaan mereka.

“Ekspo ini menjadi platform yang berharga bagi usahawan pelajar untuk mempromosikan perniagaan mereka dan memperoleh pengalaman berharga dalam dunia keusahawanan,” katanya.

Selain itu, staf PPKS juga memberi penekanan kepada usahawan pelajar berkenaan aspek kebersihan dan pengurusan makanan yang selamat, serta cara-cara untuk mengelakkan risiko kesihatan sebagai persediaan kepada pelajar untuk menghadapi cabaran sebenar dalam industri makanan dan minuman.

Menurut beberapa usahawan pelajar, cabaran cuaca tidak menghalang mereka untuk meneruskan perniagaan selain turut berkongsi pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang menjalankan perniagaan.

Sementara itu, PPKS UUM menyatakan sokongan penuh kepada semua pelajar yang terlibat dalam dunia keusahawanan.

PPKS juga menyediakan latihan dan bimbingan untuk membantu meningkatkan kemahiran pengurusan dan pemasaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka, terutama dalam menghadapi cabaran semasa.

PESKON37 yang baru berakhir pada 17 November lalu dan dijangka akan terus menarik perhatian pengunjung dari kalangan pelajar, staf universiti dan masyarakat sekitar. – Siti Aishah Adanan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button