General

Program komuniti “Back to School 2025” IPIZ–LZNK (fasa 2) perkukuh sokongan pendidikan asnaf

Gambar oleh Ahmad Khalidi Abdul Halim

CHANGLUN, 18 Disember 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menganjurkan Program Komuniti “Back to School 2025” IPIZ–LZNK (Fasa 2) bertempat di Bilik Mesyuarat IPIZ, UUM.

Program ini melibatkan kehadiran guru serta wakil pelajar daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam, Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga dan Sekolah Kebangsaan Felda Laka Selatan.

Majlis dimulakan dengan tayangan video korporat Universiti Utara Malaysia (UUM) dan LZNK, seterusnya disusuli dengan kata-kata aluan oleh Pengarah IPIZ/LZNK yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi zakat dan pihak sekolah dalam memperkukuh sokongan pendidikan kepada golongan asnaf.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian antara IPIZ dan pihak sekolah, yang menjadi platform perbincangan berkaitan keperluan, cabaran serta sokongan berterusan terhadap pelajar asnaf, khususnya dalam persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian bantuan kepada pelajar asnaf, diikuti penyampaian cenderahati kepada pihak sekolah dan LZNK sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan. Program turut diserikan dengan sesi bergambar sebagai kenangan.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan IPIZ dan LZNK dalam memastikan kebajikan pendidikan pelajar asnaf terus terbela, selari dengan usaha memperkasa ekosistem zakat yang berimpak tinggi kepada masyarakat. – Ku Hanani Ku Halim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button