Program POTENSI 2025 dorong kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar SPM SMK Seri Pantai
Berita dan gambar Prof Madya Dr. Farah Mohamad Zain
ALOR SETAR, 8 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah merasmikan Program POTENSI 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai sebagai sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat Madani.
Perasmian program ini merangkumi gimik pelancaran dengan menyerahkan baju-T POTENSI dan kalkulator saintifik kepada pihak sekolah. Program diteruskan dengan pelaksanaan Ujian Diagnostik untuk mengenal pasti prestasi semasa murid sebelum mereka dibimbing menerusi modul POTENSI.
Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Khairi, POTENSI 2025 berkata, program ini berlangsung dari Julai hingga Disember 2025 memberi tumpuan kepada bimbingan tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pembangunan sahsiah pelajar termasuk empati, nasihat, sokongan dan inspirasi.
Menurutnya, seramai 147 pelajar dari SMK Seri Pantai dan SMK Tengku Laksamana terlibat dengan kelas mingguan bagi empat mata pelajaran utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Perakaunan.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Pengajian Pendidikan dalam memperkasa masyarakat melalui penyebaran ilmu dan khidmat pendidikan yang bersifat inklusif.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan holistik individu dan menyokong usaha memperkukuh ekuiti pendidikan, khususnya dalam komuniti luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Program POTENSI 2025, Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain berkata, program ini dirangka khusus untuk membantu pelajar membuat persediaan rapi menghadapi peperiksaan SPM, bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dari segi membina keyakinan diri, disiplin, dan motivasi belajar.
Beliau menegaskan bahawa sokongan awal seperti ini amat penting dalam membentuk asas kukuh bagi kejayaan pelajar luar bandar.
Pihak sekolah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UUM atas inisiatif murni ini yang bukan sahaja memperkukuh pencapaian akademik pelajar, malah turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti luar bandar melalui pemerkasaan modal insan generasi muda.
Program seperti POTENSI 2025 mampu membuka ruang kepada pelajar untuk mencapai potensi sebenar mereka, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan di kawasan luar bandar.