General

Projek naik taraf DKG1, 2 dan 3 telan kos RM22 juta siap sepenuhnya

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 18 November 2025: Projek menaik taraf Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 1, 2 dan 3 yang menelan kos hampir RM22 juta akhirnya siap sepenuhnya pada Januari 2025.

Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Infrastruktur dan Sistem Mekanikal, Elektrikal serta Teknologi Maklumat (ICT) telah berlangsung di DKG 1, hari ini, dan disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail.

Dr. Mohd Foad berkata, perancangan projek ini telah diadakan di peringkat Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) UUM pada 2017 dan seterusnya menerima kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Projek Rancangan Malaysia ke-11 Rolling Plan ke-4 pada Februari 2019 dengan kos siling keseluruhan sebanyak RM21.836 juta.

Menurutnya, walaupun kelulusan telah diperoleh, projek ini hanya dapat dilaksanakan pada 2021 selepas seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19 pada awal 2020.

Katanya, projek menaik taraf ini merangkumi 29 unit dewan kuliah dengan kapasiti berbeza di DKG 1, 2 dan 3 yang menjadi projek rintis kepada usaha menaik taraf dewan dan bilik kuliah UUM bagi merealisasikan Pelan Strategik Universiti, iaitu ‘UUM Smart Campus’ menjelang 2030.

“Objektif utama projek menaik taraf ini adalah untuk menyediakan ruang pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan dilengkapi dengan sistem berteknologi terkini meliputi sistem audio visual (AV) dan ICT, termasuk kemudahan ‘hybrid classroom’ bagi menambah nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di UUM.

“Ia sejajar dengan hasrat kerajaan seperti yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi semasa Majlis Perutusan Tahun Baru KPT 2025 yang lalu, iaitu tujuh fokus utama KPT bagi tahun 2025: membangunkan Infrastruktur Moden, Mengadaptasi Teknologi Digital dan Kesejahteraan Kampus,” katanya di sini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPT, JKR Malaysia khususnya JKR Kedah selaku agensi pelaksana projek ini, JPPI selaku Jabatan Teknikal di UUM serta kontraktor utama, Tunjang Delima Sdn. Bhd., atas komitmen tinggi dan kerjasama padu sepanjang tempoh kerja menaik taraf dilaksanakan.

Sementara itu, Ir. Mohd Fisal berkata, projek ini membawa pembaharuan termasuk reka bentuk bilik kuliah berkonsepkan Student-Centered Learning, yang bukan sahaja mementingkan penglibatan aktif pelajar secara menyeluruh, malah turut diperkasakan dengan infrastruktur pintar yang lebih interaktif serta rekaan lestari mesra tenaga.

Menurutnya, skop utama projek ini meliputi kerja menaik taraf tiga DKG, meroboh dan membina semula elemen dalaman, pendawaian semula sistem elektrik, ELV dan ICT, pemasangan Sistem Kawalan Pencahayaan (Lighting Control System – LCS), pemasangan sistem pendingin hawa baharu, naik taraf sistem pencegah kebakaran serta pembaikan struktur bangunan dan lapisan kalis air yang rosak.

“Sejak pembinaan projek ini dimulakan secara fizikal pada Oktober 2021, pelbagai cabaran telah dihadapi dan ditempuhi bersama seluruh pasukan projek yang terdiri daripada pelbagai disiplin.

“Meskipun banyak cabaran, saya dengan sukacita memaklumkan bahawa projek ini telah berjaya mencapai enam dalam satu, iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Penyata Akaun Muktamad (SoFA), Penyiapan Lukisan Siap Bina, sifar kecederaan Loss Time Injury (LTI) sepanjang pelaksanaan projek, Coffee Table Book serta mencapai tahap kepuasan pelanggan,” katanya yang berharap projek ini terus memberi manfaat kepada seluruh warga UUM.

Turut diadakan sesi penyerahan dokumen projek dan sijil penghargaan, diikuti lawatan tapak di sekitar DKG 1.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia, Dato’ Ir. Ismail Hashim dan pegawai-pegawai kanan UUM dan JKR.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button