Pusat Alumni perlukan RM 5 juta untuk pembangunan ALTRAC
Gambar Hairul Nizam Zahari dan Mohd Fuad Hamid
PETALING JAYA, 10 Ogos 2025: Sebagai medan interaksi antara alumni dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Alumni bakal mewujudkan Alumni Learning and Training Centre (ALTRAC).
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pusat latihan dan pembelajaran atau ALTRAC itu akan menelan kos RM 5 juta untuk pembinaan, pembelian perabot dan penyelenggaraan pusat berkenaan.
Menurutnya, pusat itu bukan sahaja akan menjadi medan interaksi alumni dan pelajar, tetapi turut membuka ruang kepada pelajar dan komuniti luar untuk mendapat akses kepada program pembangunan kendiri dan kerjaya.
Selain itu, Naib Canselor turut memaklumkan bahawa jumlah alumni UUM sehingga kini mencecah 172,570 orang, yang bukan sahaja menjadi produk akademik tetapi juga rakan strategik universiti dalam memperkasa pengajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, keterlibatan alumni dalam aktiviti seperti Alumni Back2Campus, CEO@Faculty, perkongsian alumni industri dan lain-lain kolaborasi telah memberi nilai tambah kepada proses pembelajaran pelajar UUM serta menjadikan ia lebih kontekstual berimpak dan relevan kepada keperluan industri.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada penaja yang menyokong penganjuran majlis, termasuk penaja Platinum dan Emas iaitu Latimer Corporation Sdn Bhd, First Grade Resources Sdn Bhd, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, Hussain Ahmad Abdul Kader, Dato’ Ramli Mohd Tahir, serta ASR Padu Sdn Bhd, manakala penajaan Perak dan Gangsa pula berjumlah RM60,000, menjadikan kutipan keseluruhan sebanyak RM260,000.
“Terima kasih kepada alumni yang telah mewakafkan harta, ilmh dan kepakaran mereka demi manfaat generasi akan datang.
“Sumbangan ini menjadi bukti kasih sayang alumni terhadap alma mater dan merupakan satu amal jariah yang berkekalan pahalanya,” katanya di Bankuet Diraja Alumni UUM, semalam.
Dr. Mohd Foad turut memaklumkan tentang sejarah dan kejayaan UUM antaranya kedudukan dalam QS World Umiversity Rankings 2026, Times Higher Education World University Rankings bagi universiti bawah 50 tahun serta rekod kebolehpasaran graduan mencecah 96.6 peratus.