Tuanku Raja Muda Kedah, Pro-Canselor UUM perkenan terima menghadap Pengerusi LPU dan Naib Canselor
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
ALOR SETAR, 13 JANUARI 2025: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah perkenan menerima menghadap daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Bilik Mesyuarat, Wisma Darul Aman, hari ini.
Sesi menghadap itu bertujuan menyembah maklum tentang pengkomersialan fasiliti UUM, pengkomersialan Kelab Golf UUM dan pemasyhuran Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin serta Kelab Golf Sultan Sallehuddin.
Tuanku Pro-Canselor dimaklumkan bahawa UUM mencatatkan peningkatan yang signifikan hasil daripada penyewaan fasiliti dan kemudahan universiti.
Selain itu, Dr. Mohd Foad menyembah maklum tentang Majlis Jamuan Hari Raya yang akan diadakan pada April depan di mana UUM bercadang untuk memasyhurkan Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin dan Kelab Golf Sultan Sallehuddin bergantung pada ketetapan tarikh yang diperkanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Canselor UUM.
Naib Canselor juga memohon perkenan Tuanku untuk sentiasa menzahirkan panduan dan nasihat dalam memajukan Kelab Golf Sultan Sallehuddin demi manfaat generasi akan datang.
Hadir sama, Pengarah Canselori, Mohd Zulkifli Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Bakhari Che Mohamed Ariff.