General

UIUUM adakan kunjungan hormat ke SPRM Kedah perkukuh agenda integriti

Gambar Izad Mohd Faridz Morad

ANAK BUKIT, 10 Mac 2026: Unit Integriti Universiti Utara Malaysia (UIUUM) mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dua hala ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di Pejabat SPRM Kedah, Anak Bukit, semalam.

Delegasi UIUUM diketuai oleh Ketua Unit Integriti, Dr. Mukhriz Mat Rus, manakala pihak SPRM Kedah diketuai oleh Pengarahnya, Dato’ TPj Nazli Rasyid Sulong bersama pegawai-pegawai kanan jabatan.

Dr. Mukhriz berkata, kunjungan tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka ruang dan peluang jaringan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah khususnya dalam usaha memperkasa agenda tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah di peringkat universiti.

Antara agenda yang dibincangkan termasuk cadangan peluncuran Pelan Antirasuah UUM 2026–2030, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam kalangan warga universiti serta pemakluman mengenai pembangunan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) yang bertujuan memperkukuhkan kefahaman serta penghayatan nilai integriti dalam kalangan warga universiti.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelaksanaan Program Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang memberi fokus kepada penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti kesedaran dan pendidikan berkaitan integriti serta pencegahan rasuah.

Kejayaan AMAR UUM dalam pengajuran Program Kembara AMAR, Jujur dan Amanah pada 9 hingga 11 September tahun lalu telah mendapat perhatian dan pujian daripada SPRM Kedah dan ini juga telah membuka laluan untuk pengajuran Program Pementasan Teater Integriti yang akan melibatkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Negeri Kedah.

Kunjungan ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara universiti dan agensi penguatkuasaan bagi menyokong usaha berterusan membudayakan integriti serta memperkasakan amalan tadbir urus yang baik. – Mohamad Faizal Azid@Aziz

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button