General

UUM dalam senarai pilihan anak penoreh getah dengan PNGK 4.00

Gambar Hairul Nizam Zahari

GUA MUSANG, 15 September 2025: Keputusan cemerlang matrikulasi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 membuka jalan buat Wan Biemie Hazwin Wan Suhaimi atau mesra disapa Awin, untuk bergelar pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Lebih istimewa, anak penoreh getah ini memilih UUM dalam kelima-lima pilihan pengajian di sistem UPU Online, dan berjaya memperoleh pilihan pertama iaitu Ijazah Sarjana Muda Kewangan (Kepujian).

Wan Biemie berkata, faktor utama memilih UUM adalah suasana kampus yang tenang dan lengkap dengan pelbagai fasiliti.

“Saya pilih UUM sebab kampusnya tenang, tidak sesibuk seperti di kawasan Lembah Klang.

“Konsepnya pula seperti satu bandar kecil di mana semua kemudahannya ada. Jadi, senang nak urus masa antara belajar dan aktiviti lain,” katanya ketika ditemui di kediamanya di Kg. Bertam, di sini.

Anak kepada Wan Suhaimi yang berpendapatan kasar sekitar RM700 sebulan itu juga berkongsi rahsia kejayaannya mengekalkan keputusan cemerlang.

Antaranya, tidak malu bertanya, rajin membuat latihan berulang kali sehingga faham, menyediakan nota ringkas mengikut gaya sendiri, menjaga waktu tidur serta mengutamakan doa dan restu ibu bapa.

“Saya memang suka ‘bertapa’ dekat ‘cubical’ pensyarah. Sekiranya saya tidak faham, akan terus jumpa pensyarah. Latihan kena buat banyak kali sampai faham, bukan sekadar hafal.

“Tidur juga penting, tambahan pula saya sendiri memang suka tidur,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya mengenai cita-citanya, Awin berkata minatnya bukan sahaja terarah kepada kerjaya perbankan, malah mahu meneroka bidang kewangan secara lebih luas.

“Minat juga nak jadi pegawai bank, tapi bidang kewangan tidak semestinya menjadi pegawai bank sahaja.

“Saya ingin lebih kepada meneroka peluang dalam pelaburan, pengurusan kewangan dan strategi perniagaan.

“Kalau nanti Semester 8, saya memang berminat mahu menjalani latihan industri di bank besar, contohnya Maybank,” katanya penuh semangat.

Malam tadi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM yang diketuai Penolong Pendaftar Kanan, Salehuddin Salim, telah menziarahi rumah Wan Biemie untuk menyerahkan surat tawaran rasmi kemasukan ke UUM, bantuan tunai sara hidup, serta sumbangan makanan sebagai sokongan awal buatnya yang bakal melangkah ke Sintok tidak lama lagi. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button