UUM lonjak kedudukan ke-491 universiti terbaik dunia QSWUR 2026
CI Norazlina Ahmad
SINTOK, 19 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta sejarah dan membuktikan kecemerlangannya di persada pendidikan tinggi global apabila berjaya melonjak ke kedudukan ke-491 dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2026, berbanding kedudukan ke-554 pada tahun sebelumnya.
Peningkatan sebanyak 63 anak tangga ini mencerminkan usaha berterusan UUM dalam memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran, mempergiat penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa.
Ini meletakkan UUM sebagai universiti awam terbaik ke-6, satu pencapaian yang cemerlang sejak 2020, sekali gus meletakkan kedudukan UUM sebagai universiti nombor satu terbaik selepas universiti penyelidikan (RU).
UUM juga telah menunjukkan prestasi yang progresif dalam QS WUR, sekali gus terus memperkukuh reputasi dalam kalangan institusi pendidikan tinggi global.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi komitmen universiti dalam mendukung aspirasi Pelan Strategik UUM serta menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melonjakkan reputasi institusi pengajian tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, majikan turut memainkan peranan penting dalam peningkatan reputasi universiti apabila terus memberi kepercayaan kepada graduan UUM yang terbukti kompeten dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan serta alumni yang terus menjadi duta kepada keunggulan UUM di peringkat global.
Tambahan pula, katanya, penglibatan aktif rakan akademik serta penyelidik dari dalam dan luar negara telah memperkaya lagi landskap penyelidikan dan penerbitan universiti.
UUM akan terus komited untuk memperkukuhkan prestasi akademik, kebolehpasaran graduan, jaringan antarabangsa dan reputasi penyelidikan demi memastikan kelestarian kecemerlangan dan memperluaskan jaringan kerjasama global serta memperkasa penyelidikan yang berimpak tinggi.
Pautan ranking boleh layari https://www.topuniversities.com/qs-world-university-rankings/