UUM Press menyertai delegasi Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2025 di Jakarta
Gambar oleh UUM Press
JAKARTA, 24-28 September 2025: UUM Press telah menyertai Delegasi Malaysia diketuai oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (Indonesia International Book Fair/IIBF) edisi ke-45 di Jakarta International Convention Center (JICC), Senayan pada 24 hingga 28 Sepetember 2025 yang lalu.
Turut sama mempamerkan buku di Pavilion Malaysia ialah Penerbit Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) bersama penerbit swasta seperti The Patriots, Yayasan Karyawan Malaysia dan Malaysia Book Publishers Association (MABOPA).
Pada 24 September, UUM Press mengadakan Majlis Peluncuran Buku hasil pertukaran hak cipta antara UUM dan PT Kanisius melibatkan dua judul kreatif kanak-kanak, iaitu Ketika Juna dan Gaga Tersesat [terjemahan daripada Mr Turle to The Rescue (UUM)] dan Rumah Baharu Umang (terjemahan daripada terbitan PT Kanisius).

Pameran dan jualan buku berprestij anjuran Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) yang bertemakan “Exploring Content, Enlightening Mind” itu juga berlangsung serentak dengan program Indonesia Rights Fair (IRF) 2025.
Timbalan Pengarah UUM Press, Rosma Ishak yang terpilih sebagai Rights Fellowship turut menyertai IRF 2025. IRF berperanan sebagai pusat transaksi hak cipta buku antarabangsa. IRF menghimpunkan penerbit, agen literasi, dan penggiat kreatif dari lebih 20 negara, termasuk Malaysia, Korea Selatan, Jepun, China, India, United Kingdom, dan negara-negara Arab.  
Beliau menegaskan bahawa matlamat utama penyertaan UUM Press ke IRF ialah membuka laluan kepada UUM Press untuk menembusi pasaran global, mempromosikan karya tempatan agar dapat diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan disebarluaskan merentasi sempadan negara.

Menurut penganjur, IIBF 2025 menampilkan lebih daripada 500,000 judul buku daripada dalam dan luar negara, melibatkan 125 penerbit dan disertai wakil dari 20 negara. Selain jualan buku, pameran ini turut menyajikan lebih 150 program literasi dengan penyertaan lebih 160 tokoh penulis, penyelidik, serta penggiat industri kreatif.
IIBF 2025 bukan sekadar tempat jual beli buku, tetapi juga wadah untuk memperkukuh budaya membaca, mengembangkan diplomasi budaya, serta membuka peluang pasaran global bagi penulis dan penerbit tempatan dan antarabangsa.
				
					


