General

UUM serah sumbangan kutipan derma kilat mangsa kemalangan RM290,651.51 kepada UPSI

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

TANJUNG MALIM, 17 Jun 2025: Majlis Tahlil Perdana Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyaksikan Universiti Utara Malaysia (UUM) secara rasmi menyerahkan cek cura bernilai RM290,651.51 Tabung Kilat Kemalangan yang digerakkan bagi membantu mangsa nahas bas pelajar UPSI.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyaksikan penyerahan cek cura yang disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, di Dewan Tuanku Canselor UPSI, semalam.

Penyerahan cek cura itu diadakan berikut tragedi kemalangan bas membabitkan 42 penumpang pelajar UPSI yang mengorbankan 15 nyawa pada 9 Jun 2025.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM telah menggerakkan kutipan derma kilat dalam kalangan warga UUM, alumni dan orang ramai sebaik sahaja kejadian ngeri di Gerik, Perak.

Atas sokongan padu dalam tabung yang dilancarkan sejurus tragedi itu berjaya mengumpulkan RM290,651.51 hasil sumbangan luar biasa 18,927 penyumbang daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mencerminkan semangat solidariti dan kepedulian rakyat, khususnya warga universiti, dalam saat duka dan mencabar.

Yang Dipertua MPP UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain turut merakamkan terima kasih kepada semua penderma termasuk pelajar, alumni, staf UUM, agensi kerajaan, badan korporat, dan masyarakat umum yang pantas menyahut seruan kemanusiaan tersebut.

“Sokongan yang diterima amat mengharukan dan sesungguhnya kita bersatu hati demi meringankan beban rakan-rakan kita di UPSI kerana air mata mereka sama jernih dengan air mata kita,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.

Nahas tragis itu turut membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik telah meragut 15 nyawa penuntut universiti itu. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button