General

UUM sertai Mesyuarat 12th ASEAN+3 Heads of International Relations kukuh hubungan antarabangsa

BANDUNG, 11 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa apabila turut serta dalam Mesyuarat 12th ASEAN+3 Heads of International Relations yang berlangsung di Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

UUM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Pada hari pertama mesyuarat ini, Dr. Mohd Azizuddin telah diberi penghormatan untuk berucap mewakili UUM dalam forum ASEAN + 3 Heads of International Relations yang mengupas mengenai topik “Institutional Innovative Pathways in Digital Transformation” yang menekankan pendekatan strategik dan inovatif universiti dalam mendepani era pendigitalan global.

Dalam sesi forum tersebut, UUM turut mengambil peluang untuk mempromosikan agenda akademik dan jaringan kerjasama antarabangsa universiti kepada delegasi dari negara-negara ASEAN dan rakan dialog daripada China, Korea Selatan dan Jepun.

UUM telah menjadi ahli penuh ASEAN University Network (AUN), sejak Ogos 2013, menjadikannya antara lima universiti terpilih di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.

Keahlian ini melibatkan jaringan kolaborasi dengan 30 universiti daripada negara ASEAN serta 21 universiti daripada rangkaian +3 (China, Korea Selatan dan Jepun).

Selain menyampaikan ceramah dalam forum, pertemuan dua hala turut diadakan bersama beberapa pemimpin universiti terkemuka ASEAN bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

Antara universiti yang telah menyatakan komitmen awal untuk menghantar pelajar mereka ke UUM bagi program mobiliti termasuk Universiti Gadjah Mada (Indonesia), University of the Philippines dan Ateneo de Manila University (Filipina).

Penyertaan aktif UUM dalam mesyuarat ini mencerminkan iltizam universiti dalam memperluas jaringan kerjasama serantau serta memperkukuh reputasi sebagai peneraju dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.

Turut serta, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Prof. Madya Ts Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim. – Mohd Azri Md Nadzir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button