UUM tawan Tiger Leaping Gorge dan Jade Dragon Snow Mountain
Gambar Dr. Yurita Yakimin Abdul Talib
CHINA, 13 Mei 2025: Enam staf Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menawan puncak Tiger Leaping Gorge dan Jade Dragon Snow Mountain di wilayah Yunnan dalam ekspedisi selama seminggu bermula 1 hingga 8 Mei lalu.
Mereka merupakan Dr. Mohd. Raime Ramlan (TISSA-UUM), Dr. Yurita Yakimin Abdul Talib (CAEP), Mohd Tarmizi Musa (BSD), Mohd Fauzwadi Mohd Ali (SLCP), Amirudin Hashim (Pusat Sukan) dan Hashim Musa (JPPI).
Ekspedisi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan sahsiah dan kepimpinan UUM yang bertujuan memupuk semangat juang, ketahanan fizikal dan kerjasama dalam kalangan warga universiti. Ia turut menandakan komitmen UUM untuk melahirkan warga global yang mampu mengharungi cabaran dunia sebenar.
Menyelusuri Kehebatan Tiger Leaping Gorge
Ekspedisi bermula di Xiatou bagi merasai cabaran dan pengalaman laluan Tiger Leaping Gorge yang merupakan satu daripada ngarai terdalam di dunia. Laluan ini berada di antara Gunung Jade Dragon Snow dan Gunung Haba Snow. Laluan sepanjang lebih 25 kilometer dengan ketinggian tebing mencecah 2,648 meter, benar-benar menguji kemampuan peserta apabila perlu melalui cerun curam, laluan sempit dan sejumlah 28 selekoh. Pada hari pertama, peserta bermalam di Halfway Guest House. Pendakian pada hari kedua diteruskan hingga tiba di Tiger Leaping Gorge.
Pendakian di Tiger Leaping Gorge bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, tetapi juga keberanian dan fokus tinggi. Sepanjang Keindahan semula jadi terutamanya puncak dan banjaran gunung menjadi ganjaran kepada semua peserta yang berjaya mengharunginya.
Mencabar Diri di Puncak Bersalji di Jade Dragon Snow Mountain
Kumpulan ekspedisi meneruskan cabaran ke Jade Dragon Snow Mountain atau Yulong Xueshan yang menjadi simbol kebanggaan Tanah Besar China. Semua peserta dibekalkan tong oksigen bagi menghadapi kemungkinan serangan gejala Akut Gunung (Acute Mountain Sickness) berikutan tahap oksigen yang rendah serta suhu dingin. Alhamdulillah, semua peserta berjaya tiba di puncak pada ketinggian 4,680m tanpa masalah serius.
Ketua ekspedisi, Dr. Mohd. Raime berkata, pengalaman mendaki kedua-dua gunung bukan sahaja mencabar secara fizikal, malah menjadi simbol kekuatan mental dan spiritual para peserta.
“Ekspedisi ini adalah cerminan nilai-nilai yang diterapkan UUM iaitu kepimpinan, kerjasama, dan daya tahan,” katanya. – Amirudin Hashim