General

UUM teraju bidang kerajaan tempatan, meterai MoU dengan KPKT

Gambar Mohd Fuad Hamid

BUKIT TINGGI, 10 Januari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) antara universiti awam negara yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Dewan Serbaguna I-KPKT, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

UUM melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) akan bekerjasama dalam bidang kerajaan tempatan.

Dalam ucapan Aiman Athirah berkata, MoU ini akan mengukuhkan kerjasama atas dasar sama rata dan manfaat bersama melalui penglibatan pakar akademik, perkongsian pintar seperti hasil kajian, data serta pelaksanaan dasar dan polisi, bidang latihan, penyelidikan serta kajian dalam bidang pentadbiran dan pembangunan bandar.

Menurutnya, kerjasama ini bukan sahaja melibatkan pihak kerajaan dan akademik tetapi juga merupakan langkah ke arah memajukan penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan dalam sektor perumahan dan kerajaan tempatan.

Katanya, MoU ini adalah dengan objektif mengukuh, menggalakkan dan membangunkan kerjasama di peringkat KPKT melalui I-KPKT atas dasar sama rata dan manfaat bersama.

“Melalui inisiatif ini, saya yakin akan melahirkan lebih ramai profesional penyelidik dan pemimpin yang berkemahiran tinggi khusus dalam bidang berkaitan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara dan rakyat.

“MoU ini julung kali diadakan antara KPKT dengan tiga universiti awam serentak, justeru tahniah diucapkan khusus kepada I-KPKT atas inisiatif dan komitmen yang luar biasa dalam merealisasikan memorandum persefahaman ini dan saya yakin ia akan jadi pemangkin kepada perubahan lebih positif kepada kementerian,” katanya berucap di Majlis Menandatangani MoU antara KPKT diwakili I-KPKT dengan Universiti Awam (UUM, UiTM, UIAM) di Dewan Serbaguna I-KPKT, hari ini.

Majlis ini turut menyaksikan dua lagi universiti awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menandatangani MoU tersebut di mana KPKT diwakili Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

UUM diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, UiTM oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni), Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah dan UIAM oleh Timbalan Rektor Penyelidikan Inovasi dan Pembangunan, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef.

Hadir sama, Dekan SOG, Prof. Madya Pmgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid serta pengurusan KPKT dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button