Program SULAM pacu revolusi hijau di Felda Laka Selatan
CHANGLOON, 26 Jun 2025: Sebuah program khidmat masyarakat berimpak tinggi, Service Learning: Pemerkasaan Komuniti melalui Pertanian Vertikal, telah berlangsung dengan jayanya di Felda Laka Selatan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program SULAM bagi Kursus GMJTK 3113 Pentadbiran Alam Sekitar, Semester A242, Sesi 2024/2025, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kerajaan UUM ini mendapat sokongan dari Felda Laka Selatan, pihak E-Idaman Sdn. Bhd., dan Persatuan Pengurusan Pembangunan. Seramai 82 pelajar dan 60 orang penduduk kampung terbabit secara langsung dalam aktiviti ini.
Selain majlis perasmian, yang disusuli ucapan dari pihak Felda, peserta turut menerima taklimat mengenai projek Pertanian Vertikal yang dikendalikan oleh Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali selaku Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Pusat Pengajian Kerajaan UUM.
Taklimat ini memperkenalkan konsep pertanian moden berskala kecil kepada komuniti setempat sebagai langkah inovatif dan berdaya saing.
Menariknya, projek ini juga merupakan perintis kepada program SULAM untuk semester yang akan datang, di mana keberlanjutan projek ini akan diteruskan selama setahun.
Komuniti akan diberikan latihan tentang kaedah pelaksanaan pertanian vertikal secara manual, termasuk proses pemantauan dan penjagaan tanaman dari peringkat semaian hingga ke penjualan hasil sayur-sayuran.
Pendekatan ini bertujuan memastikan komuniti mampu menjalankan sendiri projek ini selepas latihan, seterusnya menggalakkan pengukuhan ekonomi dan kemandirian masyarakat.
Selain itu, aktiviti pembentangan isu-isu alam sekitar dan aktiviti kitar semula bersama E-Idaman Sdn. Bhd. membantu meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan sisa dan amalan mesra alam.
Penduduk kampung turut diberi peluang menjual hasil kitar semula dan sayur-sayuran segar, yang sebahagiannya akan dipasarkan melalui program ini.
Matlamat utama program ialah mengenalpasti penduduk yang berpotensi menjayakan projek Pertanian Vertikal serta meningkatkan kesedaran akan pentingnya pemeliharaan alam sekitar dan peluang ekonomi berasaskan pertanian mampan.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja mempererat hubungan universiti dan komuniti luar bandar, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu mereka secara praktikal, sambil memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat. – Dr. Noranida Mokthsim