Sports

Kontinjen UUM sasar empat emas di Sukan Asasi Malaysia 2025

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 5 Februari 2025: Kontinjen Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan empat emas dalam genggaman sempena Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM25) yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 Februari 2025 di Universiti Malaysia Terengganu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, UUM meletakkan harapan agar pasukan Pusat Asasi Pengurusan (PAP) dapat merangkul sekurang-kurangnya 4 emas, 3 perak dan 2 gangsa serta berada di tiga pasukan teratas.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat itu, semua atlet perlu menanamkan azam dan tekad yang tinggi serta menyusun strategi pasukan dengan baik.

Katanya, UUM berharap pingat emas yang menjadi sasaran adalah dari sukan dart, ragbi, futsal dan olahraga.

“Saya berharap agar setiap pasukan memberikan prestasi terbaik dalam semua sembilan jenis acara yang akan dipertandingkan dalam SAM 2025 iaitu bola jaring, bola tampar, MLBB, PUBG dan orienteering, selain empat sukan yang menjadi sasaran ini.

“Saya berasa amat bangga dan teruja dengan 89 wira dan wirawati Asasi UUM hari ini dan ia merupakan detik permulaan di mana anda perlu memikul harapan dan impian UUM di persada sukan peringkat nasional,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM25) di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, pagi ini.

Kejohanan SAM 2024 bagi Edisi Kelapan kali ini melibatkan penyertaan daripada 13 pusat asasi universiti awam dan wakil daripada Matrikulasi (Kolej Matrikukasi Pahang, Kolej Matrikulasi Kejuteraan Pahang dan Kolej Matrikulasi Kelantan).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman; Ketua Atlet Kontinjen Pusat Asasi Pengurusan, Zarif Akif Zainal Abidin; Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025, Muhammad Thaqif Amsyar Azman dan pegawai-pegawai kanan UUM serta atlet SAM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button