Tech

Pamer kehebatan aset ketenteraan, tarik perhatian pengunjung

LANGKAWI, 22 Mei 2025: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) terus menarik perhatian pelbagai pihak termasuk anggota pasukan keselamatan dan pengunjung awam.

Acara dwitahunan ini menjadi platform penting untuk memperkenalkan aset ketenteraan negara serta menjalin kerjasama antarabangsa.

Salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyatakan bahawa fokus utama penyertaan pasukan mereka dalam LIMA 2025 adalah untuk memperkenalkan aset terbaik TLDM ketika ini, iaitu KD Lekiu.

Menurutnya, KD Lekiu merupakan kapal terbaik dalam armada TLDM kerana telah memenangi Piala Agong dan Piala Gonzales.

“Tanggapan saya terhadap LIMA adalah untuk menunjukkan dan mempersembahkan kepada orang ramai aset-aset ketenteraan dari segi darat, laut iaitu segmen maritim, ataupun udara.

“Selain itu, kita juga boleh melihat aset dari negara luar untuk menambah baik atau membeli aset baharu,” katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau turut meluahkan rasa gembira dapat berada di LIMA’25 kerana berpeluang melihat aset-aset dari luar negara serta berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama anggota tentera asing.

Beliau bangga apabila melihat orang awam hadir ke kapal untuk mengenali lebih dekat tugas dan peranan anggota TLDM di atas kapal.

Harapanya agar negara dapat menambah baik aset-aset sedia ada atau memperoleh aset baharu demi memperkukuhkan sistem pertahanan negara.

Sementara itu, salah seorang pengunjung LIMA’25 menyatakan tujuan kehadirannya adalah untuk melihat dan merasai sendiri aset-aset ketenteraan yang sebelum ini hanya dapat dilihat secara maya.

“Saya datang ke sini untuk menambah pengalaman dengan melihat sendiri aset-aset tersebut secara dekat.

“Saya juga berasa sangat teruja untuk datang,” katanya.

Pengunjung itu berpendapat, LIMA akan datang akan menjadi lebih menarik kerana terdapat banyak aset ketenteraan yang sudah ada sekarang.

“Contohnya, pesawat tempur Fighter Jet Fifth Generation, sebab tahun ini ia tidak hadir, mungkin akan hadir pada masa akan datang.

“Saya berharap tahun hadapan lebih menarik, tetapi tahun ini pun saya sudah sangat teruja kerana kita dihadiri oleh Russian Knights buat kali kedua,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan rasa syukur dan seronok dapat hadir ke LIMA 2025 kerana tidak hanya berpeluang melihat aset pertahanan, malah dapat mendengar sendiri pengalaman daripada anggota tentera.

Selain itu, beliau menyedari pentingnya peranan aset ketenteraan dalam menjaga kedaulatan negara.

“Saya berharap agar para pengunjung dapat mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak tentera seperti tempat yang tidak boleh dimasuki, tolonglah jangan masuk. Tempat yang tidak dibenarkan untuk mengambil gambar, janganlah ambil gambar,” katanya. – Nurul Hana Ahmad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button