Travel

Delegasi ANGKASA teroka model kewangan syariah

PATTANI, 12 Jun 2025: Program Kepimpinan Koperasi (CLP) Siri 1 2025 anjuran bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) diteruskan lagi dengan lawatan penanda aras di Koperasi Islam Pattani Berhad.

Seramai 39 orang delegasi ANGKASA yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Hj. Kamarudin Ismail, Anggota Lembaga ANGKASA, merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Perniagaan Koperasi ANGKASA.

Kehadiran delegasi ANGKASA disambut mesra oleh Dr. Ku Majdi Yamirudeng, Penasihat Koperasi Islam Pattani Berhad.

Dr. Ku Majdi memberikan penerangan berkenaan dengan isu-isu semasa berkaitan dengan pembangunan ekonomi masyarakat Islam di wilayah tersebut.

“Pattani kini juga berdepan dengan pelbagai cabaran, diantaranya peningkatan jumlah permintaan daripada konsumer, namun variasi produk yang ditawarkan di pasaran tidak dapat menampung permintaan semasa masyarakat muslim di wilayah tersebut,” ujarnya.

Ditubuhkan pada tahun 1987, KIPB menjalankan fungsinya dalam membantu memberikan akses kredit dan perkhidmatan berasaskan kewangan kepada komuniti muslim di wilayah tersebut. Koperasi ini juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan dana bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi umat Islam di wilayah Pattani sentiasa dapat dijayakan tanpa sebarang halangan kewangan.

KIPB juga telah menubuhkan tabung zakat bagi memastikan kebajikan anak-anak anggota koperasi dalam aspek akses kepada pendidikan terbaik sentiasa tersedia.

Kini, KIPB mempunyai lebih daripada 80,000 ahli dengan jumlah aset bernilai lebih daripada 1.5 billion baht (RM194.52 juta).

Dato’ Kamarudin Ismail dalam ucapannya pula memberikan penekanan kepada pentingnya kerjasama diantara ANGKASA dan KIPB bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi umat Islam di wilayah selatan Thailand termasuk wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.

Jumlah penduduk di Pattani sahaja sehingga kini mencecah seramai hampir dua juta orang, berbanding jumlah sebelumnya seramai 800,000 orang pada 2017. Jumlah kelahiran yang tinggi di samping jumlah migrasi yang meningkat dilihat dapat menjamin kerelevanan fungsi koperasi itu sendiri untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh pihak komuniti di sekitarnya, terutamanya akses kepada perkhidmatan kredit, dan yang terpenting sekali, peluang pekerjaan yang dapat dijana oleh gerakan koperasi itu sendiri.

Di selatan Thailand kini terdapat lebih daripada 27 buah koperasi Islam yang telah kukuh bertapak di wilayah muslim antaranya KIPB, Koperasi Takaful Ibnu Affan Berhad, Koperasi Islam Ibnu Auf yang berpusat di wilayah Satun, dan Koperasi Islam As-Sideeq di Songkhla. Kesemua koperasi ini berdaftar di bawah Undang-undang Koperasi Thailand 1992.

Antara perkhidmatan yang diberikan oleh koperasi muslim terbabit termasuklah perkhidmatan jual beli saham, pinjaman darurat (Qardhu Hassan), perkhidmatan pinjaman Am, tabungan akaun wadiah, mudharabah dan dana haji.

Fungsi koperasi muslim yang menjadikan kredit sebagai asas utama perniagaan mereka ini juga telah menyamai peranan bank-bank islam yang terdapat di Krabi, Nakhorn Si Thammarat, Phuket dan Bangkok.

Selain perkhidmatan kredit, koperasi-koperasi muslim ini juga terlibat dalam perniagaan keperluan harian komuniti seperti makanan, penjagaan diri dan kesihatan serta perhotelan. Koperasi-koperasi ini bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan 7.1 juta populasi muslim di Thailand, yang mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi Thailand yang berjumlah 71.7 juta orang.

Pertemuan ini juga turut membincangkan potensi produk berasaskan syariah yang dapat dipasarkan kepada komuniti Muslim di Selatan Thailand seperti produk pengurusan harta yang berasaskan hibah, produk pengurusan kewangan, makanan dan keperluan harian penduduk muslim yang memenuhi kriteria konsep Halalan Toyyiban.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button