Uncategorized

iFUTURE 2025 persiapkan generasi muda hadapi cabaran masa depan

Gambar Najmudin Nadzri

KUALA LUMPUR, 2 November 2025: Seramai 40 pemimpin pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terpilih untuk mewakili universiti ke iFUTURE yang telah berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia dari 11 hingga 13 Oktober lalu.

Persidangan ini merupakan sebuah platform anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Program iFUTURE ini menghimpunkan seramai 1,000 pemimpin pelajar dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta yang meliputi 50 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, China dan United Kingdom.

Sidang kemuncak ini bertujuan untuk membentuk jaringan kepimpinan pelajar dari dalam dan luar negara disamping memperkukuh keupayaan generasi muda untuk berdepan dengan cabaran masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, KPT bertanggungjawab menyediakan sebuah ekosistem yang menggalakkan mahasiswa meneroka potensi kepimpinan mereka secara maksimun.

Beliau turut meletakkan harapan yang tinggi terhadap peserta iFUTURE 2025 untuk membawa perubahan positif kepada negara masing-masing.

Sepanjang program tiga hari di Pusat Dangangan Dunia Kuala Lumpur, peserta terlibat dalam sesi pembinaan kepimpinan masa depan, perbincangan mengenai Kecerdasan Buatan (AI), wacana tentang kesihatan mental termasuklah kesukarelawanan dan sesi libat urus dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Buli.

Kehadiran Kabinet Menteri seperti Dato’ Sri Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut memeriahkan sesi perbincangan bersama pemimpin mahasiswa.

Sementara itu, peserta, Afiq Irfan Mohamad Hairul Nizam, pelajar Sarjana Muda Undang-Undang turut menyuarakan rasa teruja atas peluang untuk menghadiri sidang kemuncak ini.

“Menjalin ukhwah dan silaturahim antara pemipin pelajar dari universiti-universiti lain sentiasa menjadi keutamaan saya ketika hadir ke mana-mana sidang kemuncak yang dianjurkan” katanya.

Beliau juga yang merupakan Presiden Kelab Mahasiswa Madani UUM (KAMI UUM) menyifatkan iFUTURE 2025 menjadi medan penting bagi sebuah cerita kejayaan seorang mahasiswa dari seluruh negara untuk mengorak langkah untuk menjadi pewaris pemimpin masa depan Malaysia yang pasti didambakan oleh agamanya, dinantikan oleh bangsanya dan ditunggu oleh negaranya.

“Yang paling menggembirakan apabila sesi perbincangan bersama para panel, saya berkesempatan untuk memberikan beberapa soalan dan pandangan berkenaan topik dan isu yang dibincangkan” katanya.

Penganjuran sidang kemuncak ini merupakan sebuah iltizam kerajaan MADANI yang sentiasa inginkan generasi muda dipersiapkan untuk memimpin masa depan yang lebih cemerlang. – Shazmeen Suhaimi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button