Uncategorized

Lawatan Prihatin TNC (P&I) tinjau kesiapsiagaan kemudahan infrastruktur UUM

Gambar Syakir Zafayri Abu Bakar

SINTOK, 24 September 2025: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, telah turun padang bersama pasukan JPPI, UUMIT dan JHEPPI ke beberapa Pusat Pengajian di COLGIS, COB dan CAS serta Inapan Siswa (Inasis) MISC dan BSN.

Lawatan Prihatin TNC (P&I) ini diadakan bagi meninjau tahap kesiapsiagaan kemudahan infrastruktur universiti menjelang pendaftaran pelajar baharu dan sesi baharu pengajian Semester A251.

TNC (P&I) turut diberi taklimat oleh pasukan JPPI berkaitan status semasa terkini beberapa projek naik taraf dan penambahbaikan kemudahan infra melibatkan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial.

“Alhamdulillah, kemudahan infra terutamanya bilik kuliah dan Inasis yang bakal menjadi nadi kehidupan kampus pelajar kini berada dalam keadaan lebih baik hasil beberapa penambahbaikan signifikan yang telah dilaksanakan.

“Dewan Mu’adzam Shah turut tampil lebih moden dengan pemasangan skrin LED serba baharu, bersedia untuk digunakan sepanjang Majlis Suai Kenal (MSK) yang bakal berlangsung,” kata Dr. Ram selepas melawat kerja-kerja persiapan sempena Minggu Suai Kenal (MSK) di Dewan Mu’adzam Shah, baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada pasukan JPPI dan UUMIT atas komitmen tinggi dalam memastikan prasarana UUM berada dalam keadaan terbaik.

Penghargaan turut diucapkan kepada pasukan JHEPPI atas kerjasama menjayakan sesi lawatan ini.

Di akhir lawatan, beliau turut menzahirkan harapan semoga kesiapsiagaan ini menjadi pemangkin semangat buat pelajar baharu dan seluruh warga kampus untuk terus melakar kejayaan bersama di bumi Sintok tercinta.

Ketibaan Dr. Ram Al Jaffri disambut oleh dekan-dekan dan pengetua-pengetua terlibat. – Zul Rusydi Hussin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button