Uncategorized

Program memasak bubur Asyura perkukuh silaturrahim warga UUM

Berita dan gambar Nor Azlinah Zaini

SINTOK, 10 Julai 2025: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura sempena bulan Muharam bertempat di dapur memasak Pusat Islam. Program ini merupakan satu usaha memperkukuh silaturrahim dan membudayakan amalan berkongsi kegembiraan dalam kalangan warga kampus.

Aktiviti memasak bubur Asyura secara gotong-royong ini merupakan tradisi masyarakat Islam di Malaysia yang lazimnya dilakukan untuk diagihkan kepada ahli keluarga, jiran tetangga, komuniti setempat serta golongan memerlukan. Tradisi ini tidak bertentangan dengan syarak, malah amat digalakkan kerana tujuannya yang terpuji iaitu menyemai semangat kebersamaan, mengeratkan hubungan dan memupuk nilai murni melalui amalan bersedekah.

Program ini mendapat kerjasama dan komitmen padu daripada beberapa pusat pengajian dan jabatan utama termasuk PPQA, SOC, IBS, dan HEP. Sebagai simbolik ukhuwah dan ingatan, bubur Asyura turut diagihkan secara sederhana kepada 14 Inapan Siswa (Inasis) UUM dan Pusat Asasi UUM, menandakan nilai perkongsian dalam komuniti kampus. Jamuan bubur Asyura turut diadakan di Masjid Sultan Badlishah UUM selepas solat Zuhur hari tersebut. Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkesempatan merasai keenakan bubur asyura hasil air tangan warga kampus yang dihidangkan secara tradisional menggunakan alas daun pisang.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi berkata program sebegini bukan sahaja menghidupkan amalan warisan Islam, malah memperkukuh perpaduan dalam kalangan warga universiti melalui nilai gotong-royong dan keprihatinan sosial.

Bubur Asyura merujuk kepada nama Asyura, iaitu hari kesepuluh dalam bulan Muharam, yang merupakan tarikh penting dan bersejarah bagi umat Islam. Ia dikaitkan dengan pelbagai peristiwa besar termasuk kisah Nabi Nuh A.S. yang menjadi asas kepada amalan menyediakan hidangan ini sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan atas nikmat Allah SWT.

Melalui pelaksanaan program ini, Pusat Islam UUM berjaya mengangkat budaya tradisi yang selari dengan syariat sebagai wadah penyatuan dan penyuburan nilai murni dalam kalangan komuniti kampus.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button