Alumni UUM bantu kemasukan pelajar baharu
SINTOK: Kemiskinan hidup mendorong alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Peter Tan Sin Howe untuk membantu Foong Wei Yeng, 19, melanjutkan pengajian ke UUM bermula 1 Oktober ini.
Wei Yeng yang kini bekerja separuh masa di kedai kurier hanya mempunyai simpanan lebih kurang RM1,000 dan berhasrat untuk melanjutkan pengajian di universiti meskipun dihimpit masalah kewangan.
Menurutnya, ibunya telah meninggal dunia, manakala ayahnya, Foong Peng Khow, 73, kini menghidap kanser paru-paru dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Anak sulung tiga beradik itu bukan sahaja menghadapi masalah kewangan, malah pengangkutan untuk datang ke UUM semasa hari pendaftaran nanti, justeru alumni UUM tersebut telah membantunya membelikan tiket ETS pada 30 September nanti agar hasrat Wei Yeng untuk belajar terlaksana.
Dia akan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans selama tiga tahun.
Sementara itu, Dr. Peter yang merupakan alumni Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pada 2006 menyatakan niat beliau untuk membantu pelajar berkenaan untuk terus belajar.
Menurutnya, tambahan pula mendapat tahu Wei Yeng mendapat tawaran belajar di UUM, alma mater beliau, jadi beliau ingin melihat pelajar tersebut turut berjaya menggapai segulung ijazah tanpa sebarang halangan.
“Saya berasal dari keluarga sederhana di mana ayah saya seorang penjaja dan dia buka gerai di Kopitiam.
“Kemiskinan hidup apabila ayah perlu menanggung ibu and empat orang anak yang mengubah hidup saya kini. Sejak kecil, saya membantu ayah menguruskan gerai dan belajar cara melayani pelanggan,” katanya kini merupakan Timbalan Dekan (Fakulti Perniagaan dan Kewangan) di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar. – Nordiana Shafiee