Majlis Sanjungan Bakti iktiraf dedikasi pesara
SINTOK, 22 Januari 2025: Majlis Sanjungan Bakti di EDC-UUM semalam menjadi satu acara yang penuh bermakna, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada staf yang telah bersara pada tahun 2024.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berbesar hati meraikan khidmat bakti, dedikasi, dan sumbangan cemerlang yang telah diberikan oleh staf sepanjang perjalanan karier di UUM, sekali gus memberikan impak besar dalam pembangunan dan kejayaan institusi ini.
“Saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada 84 pesara dan pasangan masing-masing yang sudi hadir bagi menjayakan majlis ini.
“Dalam kita meraikan majlis pada hari ini, pihak universiti turut merasa kehilangan apabila seramai 10 orang staf UUM, terdiri daripada lima staf akademik dan lima staf pentadbiran, telah dijemput pulang ke sisi Allah sepanjang tahun 2024.
“Jasa dan sumbangan anda kepada universiti dan anak didik akan terus kekal abadi dalam ingatan kami. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih juga kepada waris yang turut sama hadir,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pesara amat bertuah kerana dapat menikmati pelbagai kemudahan prapersaraan dan pascapersaraan. Universiti sangat menitikberatkan aspek kebajikan dengan terus melindungi dan membiayai kos perubatan bagi pesara dan pasangan mereka.
“Universiti turut memberi keistimewaan dengan memberi kelayakan untuk mendapatkan faedah perkhidmatan perubatan di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) selain daripada hospital kerajaan,” tambahnya.
Selain itu, universiti juga membuka peluang kepada pesara yang berumur 65 tahun ke bawah untuk meneruskan caruman Skim Takaful Kesihatan Berkelompok UUM dengan konsep Tabarru’ dan Takaful, bagi membolehkan pesara menikmati kemudahan rawatan perubatan di hospital swasta.
“Kepada rakan-rakan yang telah memasuki fasa baharu, saya mengucapkan selamat bersara dan selamat maju jaya. Semoga kenangan berkhidmat di UUM akan menjadi memori terindah dan teruskanlah berbakti,” katanya.
Sementara itu, wakil pesara, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim teruja menyambut fasa baru dalam kehidupan selepas 35 tahun berkhidmat, berkongsi rasa syukur kerana menikmati kehidupan yang tenang dan bahagia.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan akademik, beliau mengakui bahawa perjalanan selama tiga dekad itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau tidak pernah menyesali setiap detiknya.
“Pangkat merupakan satu amanah yang akan dipersoalkan kelak. Jadi, kerja adalah ibadah untuk dibawa ke dunia seterusnya. Dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya terus membantu negara.
“Banyak kenangan manis sebagai penjawat awam, suka duka dan rasa sedih kerana menandakan perpisahan dengan rakan-rakan, staf, dan pelajar yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi kenangan manis sebagai ‘batch’ terakhir UUM di Tanah Merah dan menyatakan rasa syukur sentiasa dikelilingi sahabat sejati.
“Saya berasa bahagia bila lihat sahabat bahagia, sebab itu saya sayang UUM dan tidak mahu tinggalkan UUM,” katanya.
Beliau menyifatkan majlis anjuran Jabatan Sumber Manusia sebagai penghormatan yang sangat bermakna terhadap komitmen serta kerja keras selain memberi peluang kepada rakan-rakan untuk mengimbau kenangan bersama dan menyemai semangat kerjasama dalam universiti.