Meniti jalan ke menara gading: UBSBM perkenal peluang pengajian
Gambar Unit Bahasa Sastera dan Budaya Melayu, SLCP
PERLIS, 16 Mac 2025: Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program motivasi dan memperkenalkan program-program di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah kepada 150 pelajar Tingkatan Enam di negeri Perlis yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, SMK Syed Hassan dan SMK Putra.
Pensyarah yang terlibat, iaitu Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam, Dr. Maulana Al-Fin Che Man dan Dr. Mohammed Nazreen Shahul Hamid turut berkongsi pengalaman mereka dalam bidang akademik dan penyelidikan, termasuk cabaran serta kejayaan yang ditempuhi sepanjang berada dalam dunia akademik.
Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan tiga program yang bersifat interdisiplinari di SLCP, iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Linguistik terapan dan Pentadbiran Peniagaan dengan Kepujian serta program major-minor seperti Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian.
Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK Syed Alwi, Noor Haimi Husain berkata, program seperti ini dapat membantu pelajar dalam memahami peluang pendidikan yang ada dan memudahkan mereka membuat keputusan yang tepat selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya percaya usaha ini akan memberikan inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik mereka,” katanya.
Usaha ini bukan sahaja memberi nilai tambah, tetapi juga memotivasikan mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang ilmu. – Dr. Maulana Al-Fin Che Man