Lawatan silaturahim Inasis Bank Rakyat ke Bank Rakyat Kuala Nerang
Gambar Iman Aleesa Mohamad Zamzuri
KUALA NERANG, 22 April 2025: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, satu lawatan silaturahim telah diadakan oleh pengetua, staf serta Jawatankuasa Pelajar Inapan Siswa (INASIS) Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.
Rombongan yang diketuai oleh Pengetua Inasis Bank Rakyat, Dr. Mohd Fitri Yusoff turut disertai oleh beberapa staf pengurusan dan barisan Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar disambut mesra oleh Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kuala Nerang, Tuan Megat Saiful Atras Megat Hamari.
Dr. Mohd Fitri berkata, lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan ukhuwah antara pihak pengurusan INASIS dan institusi perbankan yang telah banyak menyokong pembangunan pelajar serta aktiviti Inasis sepanjang tahun.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat yang terjalin antara Inasis Bank Rakyat dan Bank Rakyat selama ini dan berharap agar hubungan ini dapat diperkukuh dengan lebih banyak kolaborasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak pada masa akan datang.
Lawatan ini turut diserikan dengan sesi ramah mesra, bertukar-tukar cenderahati dan jamuan ringan bertemakan hari raya, menambah kemeriahan suasana sambutan Aidilfitri.
Inisiatif sebegini dilihat bukan sahaja menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan warga kerja, malah turut memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian dan sektor korporat. – Dr. Mohd Fitri Yusoff