Education

Kunjungan SOL, UUM ke MPI kukuh hubungan akademia-industri

Gambar SOL

CYBERJAYA, 27 April 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Malaysian Press Institute (MPI) di Cyberjaya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan industri media tanah air.

Delegasi UUM yang diketuai oleh Dekan SOL merangkap Penolong Naib Canselor Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail dan Pengurus Besar MPI, Norlida Jamain.

Dr. Harlida berkata, pertemuan ini menjadi platform perbincangan untuk meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang kewartawanan, komunikasi massa dan perundangan media, khususnya dalam bentuk penganjuran bengkel, seminar dan latihan yang mampu memberi nilai tambah kepada pelajar UUM dan juga industri media secara amnya.

MPI menyatakan kesediaan untuk bekerjasama secara lebih erat dalam menyokong inisiatif akademik dan mendekatkan pelajar dengan realiti industri media, termasuk aspek pematuhan etika serta peranan undang-undang dalam penyampaian maklumat yang bertanggungjawab.

Sebagai simbolik kepada hubungan yang terjalin, Dr. Hafidz Hakimi Haron telah menyampaikan naskhah buku beliau yang bertajuk “Freedom of Press and The Press Council” untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi rujukan di Perpustakaan Mini MPI.

Pusat Pengajian Undang-Undang melihat kunjungan ini sebagai satu langkah penting ke arah membina jalinan kerjasama yang lebih erat antara akademia dan industri, selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Turut serta, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah dan Pengerusi Program LL.B, Dr. Mukhriz Mat Rus.- Dr. Hafidz Hakimi Haron

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button