UUM dan PSU perkukuh jalinan serantau menerusi Program Summer School SEFB 2025
Gambar SEFB
SINTOK, 4 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah melaksanakan Program Summer School SEFB 2025 fasa pertama yang berlangsung dari 23 hingga 29 April lalu di UUM.
Program ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama strategik bersama Prince of Songkla University (PSU), Kampus Trang, Thailand yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang menyifatkan program ini sebagai sebuah platform bernilai tinggi dalam memperkukuh kerjasama serantau serta mempersiapkan pelajar ke arah kecemerlangan global.
“Program ini membuka ruang kepada pelajar untuk melangkaui sempadan pembelajaran konvensional.
“Dalam dunia yang serba terhubung ini, pendedahan kepada budaya, bahasa, dan sistem pendidikan yang berbeza adalah sangat penting. Ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi, tetapi turut memperkukuh keyakinan dan kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam pasaran kerja global,” katanya.
Program hibrid ini menghimpunkan hampir 50 peserta dari PSU Kampus Trang dan Sekolah Tinggi di Trang, Thailand, selain penglibatan 32 orang staf PSU yang menyertai lawatan akademik terdahulu.
Sepanjang tujuh hari di UUM, peserta mengikuti kelas asas Bahasa Inggeris yang memfokuskan kepada komunikasi, disusuli pelbagai aktiviti luar bilik darjah yang menyeronokkan dan mendidik, antaranya kayuhan santai mengelilingi kampus, berkayak, ‘jungle trekking’ dan mendaki, serta lawatan budaya ke destinasi menarik di Alor Setar dan Pulau Pinang. Aktiviti-aktiviti ini berjaya memupuk semangat setiakawan, persefahaman antara budaya dan kerjasama dalam kalangan peserta.
Fasa kedua program akan diteruskan secara dalam talian sebaik peserta pulang ke Thailand, dengan tumpuan kepada kelas-kelas pengurusan SEFB yang meliputi topik seperti ekonomi, perbankan, kewangan, agribisnes, pengurusan risiko dan insurans serta perakaunan bermula daripada 1 Mei hingga 9 Mei ini.
Kejayaan program ini turut diserikan dengan sumbangan besar oleh 17 pelajar ‘buddy’ UUM, yang diiktiraf atas komitmen luar biasa mereka dalam menyokong peserta antarabangsa sepanjang program berlangsung.
Pengarah program SEFB Summer School 2025, Khairul Anuar Adnan, menyifatkan program ini sebagai lebih daripada sekadar usaha akademik.
Menurutnya, program ini bukan sekadar sebuah inisiatif akademik, ia adalah jambatan antara budaya, pemangkin kepada kerjasama masa depan, dan platform untuk menjalin hubungan sepanjang hayat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada 17 pelajar buddy UUM daripada kelab-kelab persatuan pelajar di SEFB seperti Ecosa, Marim dan Agribisnes yang menunjukkan komitmen dan dedikasi luar biasa sepanjang program ini berlangsung.
“Sejak hari pertama, mereka telah membantu peserta-peserta dari sudut akademik, sosial dan budaya memastikan setiap pelajar berasa disambut baik, terlibat dan sentiasa dibimbing. Peranan mereka sangat penting dalam merapatkan jurang bahasa dan budaya serta mencipta pengalaman yang benar-benar bermakna buat peserta semua,” katanya.
Mewakili PSU, Pensyarah Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, Miss Jo-Anne Bridgen, turut bertindak sebagai pegawai pengiring pelajar menyatakan penghargaan tinggi terhadap pengalaman yang diperoleh:
Menurutnya, mereka amat menghargai sambutan mesra dan pengurusan profesional oleh UUM. Pengalaman ini membuka mata pelajar PSU terhadap potensi pembelajaran antarabangsa serta meningkatkan keyakinan mereka untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dari Malaysia.
Pelajar PSU Kampus Trang, Nichakorn Santhaweeook berkata, program ini benar-benar mengubah perspektifnya di mana kelas yang interaktif dan komuniti UUM yang mesra menjadikan pengalaman ini sangat bermakna.
Sementara, pelajar dari High School of Trang, Praolada Rakthong berkata, program ini memberi gambaran awal tentang kehidupan universiti dan meningkatkan keyakinan dirinya.
“Saya kini lebih bersemangat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat antarabangsa, dan UUM adalah antara pilihan utama saya,” katanya.
Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hassan Basri, merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa penganjur atas kejayaan gemilang program ini.
“Program ini mencerminkan komitmen SEFB terhadap kecemerlangan akademik dan agenda pengantarabangsaan. Ia bukan sahaja memperluas horizon ilmu peserta, malah merangsang potensi kerjasama akademik yang lebih mendalam.
“Pihak universiti berharap program ini akan berkembang ke arah kerjasama dinamik seperti penyelidikan bersama, program ijazah berkembar dan pembangunan pensyarah bertaraf antarabangsa,” katanya.
Menelusuri masa depan, kedua-dua institusi menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang seperti mobiliti pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan akademik, dan penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa. – Khairul Anuar Adnan