Kunjungan hormat STML ke Malaysia Aviation Group perkukuh kolaborasi strategik
Berita dan gambar oleh Salina Ali
SELANGOR, 16 April 2026: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah mengadakan kunjungan hormat ke Malaysia Aviation Group (MAG) baru-baru ini bagi memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri selaras dengan usaha memperkasa pembangunan bakat serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Delegasi UUM diketuai oleh Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan bin Abdul Rahim, bersama barisan akademik yang terdiri daripada Felo Technology and Supply Chain Excellence Institute (TeSCE), Prof. Madya Dr. Halim bin Mad Lazim serta Pengerusi Program Pascasiswazah STML, Dr. Rushanim Binti Hashim dan Dr. Syairah Aimi binti Shahron.

Kunjungan hormat ini menjadi platform penting kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai keperluan industri semasa, khususnya dalam bidang logistik, teknologi dan pengurusan rantaian bekalan, sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
Menurut Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan bin Abdul Rahim, “Kunjungan ini mencerminkan komitmen UUM untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama industri, khususnya dalam memastikan kurikulum dan pembangunan bakat kekal relevan dengan keperluan semasa. Kolaborasi bersama Malaysia Aviation Group ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dalam aspek latihan industri, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan.”
Delegasi MAG pula diketuai oleh Group Chief People Officer (GCPO), Encik Amran Mohd Tomin, yang turut berkongsi pandangan strategik berkaitan pembangunan modal insan dan keperluan kemahiran masa hadapan.

Beliau berkata, “Kerjasama antara industri dan institusi akademik amat penting dalam membangunkan modal insan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Kami melihat potensi besar dalam kolaborasi ini, khususnya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mempunyai kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri penerbangan.”
Perbincangan turut memberi penekanan terhadap potensi kerjasama dalam aspek latihan industri, penyelidikan berimpak tinggi serta pembangunan bakat secara holistik bagi memastikan graduan UUM kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UUM untuk terus memperkukuh jaringan kolaborasi strategik bersama pemain industri utama, sekali gus menyumbang kepada ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan pasaran.



