Campus

UUM, Zurich Takaful perkukuh hubungan strategik, fokus pembangunan kebolehpasaran graduan

Gambar Siti Fatimah Abdullah

SINTOK, 30 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuhkan hubungan strategik dengan industri melalui penganjuran Program Padawan 6.0 bersama Zurich Takaful di Dewan Seminar C, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM.

Program ini merupakan inisiatif berterusan di bawah School of Hard Knocks (SoHK) yang memberi fokus kepada pembangunan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan langsung kepada dunia industri.

Program berbentuk briefing dan sesi temuduga ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami keperluan sebenar industri, di samping membuka ruang kepada potensi kerjaya bersama Zurich Takaful.

Dengan tema “Unlocking the Path to Professional Success”, program ini menekankan kepentingan persediaan awal, kemahiran komunikasi, serta sikap profesional dalam kalangan pelajar.

Majlis diserikan dengan kehadiran wakil daripada Zurich Takaful, iaitu Pengurus Jualan Serantau, Azita Abu Hadzim serta barisan Pengurus Agensi, Afif, Yusof, dan Syuhairee yang mencerminkan komitmen pihak industri dalam menyokong pembangunan bakat muda dan menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada pelajar universiti.

Sementara UUM diwakili oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah dan Penyelaras Program School of Hard Knocks, Dr. Aidanajwa Sabri yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menyelaras pelaksanaan program ini.

Dr. Fikriyah berkata, kolaborasi antara universiti dan industri seperti ini amat penting dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bersedia menghadapi realiti dunia pekerjaan.

Beliau turut menyatakan bahawa platform seperti Padawan memberi nilai tambah kepada pelajar dari segi pendedahan, pengalaman, dan pembinaan jaringan profesional.

Sepanjang program, pelajar diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil industri, memahami struktur kerjaya dalam sektor takaful, serta menyertai sesi temuduga sebagai langkah awal ke arah penempatan praktikum atau kerjaya.

Inisiatif ini selari dengan usaha UUM dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan industri dan negara.

Program Padawan 6.0 bersama Zurich Takaful ini jelas menunjukkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh ekosistem kebolehpasaran graduan melalui kerjasama erat dengan rakan industri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melangkah ke alam profesional dengan lebih yakin dan bersedia. – Dr. Aidanajwa Sabri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button