Education

Ahli Akademik UUM perkukuh suara Malaysia di persada global di Sidang Iklim Chongqing

Berita dan gambar oleh: Dr.  Zuliana Azwa Binti Zulkifli.

CHONGQING, CHINA, 26 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kedudukan akademiknya di peringkat antarabangsa apabila tiga orang sarjananya tampil menyumbang secara berimpak tinggi dalam International Conference on Climate Change: Ecosystem Resilience and Adaptation yang dianjurkan oleh Chongqing University (CQU), salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka di China.

Sebagai institusi di bawah inisiatif elit “Double First-Class University”, Chongqing University diiktiraf di peringkat global khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains alam sekitar dan penyelidikan kelestarian.

Peranannya dalam agenda pembangunan hijau dan kajian perubahan iklim menjadikannya platform strategik untuk perbincangan akademik dan dasar bertaraf tinggi.

Delegasi UUM terdiri daripada Dr. Zuliana Azwa Binti Zulkifli, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) yang juga bernaung di bawah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Dr. Nor Suzylah Sohaimi dari Pusat Pengajian Kerajaan, serta Dr. Norwahida Yaakub dari UUM Kuala Lumpur.

Penyertaan mereka diiktiraf secara rasmi oleh Chongqing University sebagai sebahagian daripada penglibatan akademik dan penyelidikan antarabangsa dari 22 hingga 28 April 2026 .

Dalam persidangan tersebut, Dr. Zuliana Azwa membentangkan kertas kerja bertajuk “Policy Design, Governance Mechanisms, and Ecosystem Vulnerability: Rethinking Public Service Delivery in China,” yang menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh, kesepaduan dasar, dan keupayaan institusi awam dalam menangani cabaran perubahan iklim. Peranan beliau dalam CUIC turut menyerlahkan kekuatan UUM dalam menghubungkan penyelidikan akademik dengan ekosistem industri dan dasar.

Dr. Nor Suzylah Sohaimi pula membentangkan kajian “Sustainable Affordable Housing as an Urban Ecosystem Resilience Strategy,” yang memberi fokus kepada kepentingan dasar perumahan inklusif dan tadbir urus bandar dalam melindungi komuniti rentan daripada risiko perubahan iklim.

Sementara itu, Dr. Norwahida Binti Yaakub menyumbang perspektif berkaitan risiko pekerjaan dalam peralihan ekonomi hijau Malaysia, dengan menekankan cabaran dasar dan kesiapsiagaan tenaga kerja dalam menuju ekonomi lestari.

Persidangan ini menghimpunkan sarjana, pembuat dasar dan institusi antarabangsa di bawah kerangka Belt and Road Initiative (BRI), serta dianjurkan bersama Universiti Sains Malaysia (USM). Antara tokoh penting yang terlibat termasuk Assoc. Prof. Dr. Zhongli Chen dari Chongqing University yang menjemput delegasi UUM secara rasmi , Prof. Dr. Yongchuan Yang, serta Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor USM.

Penyertaan di Chongqing University—sebuah institusi di barisan hadapan penyelidikan kelestarian global—merupakan pencapaian signifikan bagi UUM. Ia bukan sahaja meletakkan universiti dalam jaringan penyelidikan dan dialog dasar antarabangsa berimpak tinggi, malah memperkukuh kehadiran Malaysia dalam wacana global berkaitan tadbir urus perubahan iklim.

Selain pembentangan, para akademik UUM turut terlibat dalam sesi pertukaran ilmu dan jaringan profesional bersama pakar antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada kolaborasi penyelidikan dan kerjasama rentas negara pada masa hadapan.

Penglibatan ini menyerlahkan peranan UUM dalam menghasilkan penyelidikan berasaskan dasar, inovasi tadbir urus, dan kesarjanaan global, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam menangani cabaran kompleks berkaitan iklim, kelestarian dan dasar awam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button