Education

Kepakaran akademik UUM dimanfaatkan dalam latihan berimpak tinggi

Gambar Prof. Madya Dr. Rajwani Md Zain

KOTA BHARU, 29 April 2026: Kepakaran akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mendapat pengiktirafan apabila pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Rajwani Md Zain dijemput sebagai penceramah utama dalam Kursus Kaedah Siasatan Pegawai Penyiasat (Pasukan) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tahun 2026.

Kursus anjuran Cawangan Perkhidmatan dan Tatatertib Pasukan, Bahagian Pengurusan Angkatan IPPA ini telah berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 April lalu di Renai Hotel Kota Bharu, Kelantan yang melibatkan 33 pegawai APM dari seluruh negara.

Dr. Rajwani berkata, program ini bertujuan memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran pegawai penyiasat dalam mengendalikan kes secara profesional, sistematik dan berintegriti.

Sepanjang kursus, peserta telah didedahkan dengan pelbagai pendekatan praktikal serta simulasi berimpak tinggi yang menekankan aspek psikologi siasatan, teknik soal siasat berkesan serta pengendalian tingkah laku tertuduh.

Penyampaian Dr. Rajwani yang dinamik dan interaktif mencerminkan pengalaman luas beliau dalam mengendalikan latihan profesional merentas pelbagai agensi kerajaan dan badan beruniform.

“Pendekatan yang bersesuaian dalam siasatan bukan sahaja membantu memperoleh maklumat dengan lebih tepat, malah memastikan proses tersebut dilaksanakan secara beretika dan berintegriti.

“Pegawai penyiasat bukan sahaja perlu memahami tingkah laku manusia atau tertuduh, malah perlu mempersiapkan diri dengan ketahanan emosi sebelum proses soal siasat dijalankan. Keperluan ini penting bagi mengelakkan berlakunya bias kognitif serta meningkatkan keberkesanan siasatan,” katanya.

Beliau turut berganding bahu dengan Muhamad Hakam Izani dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang menyumbang perspektif praktikal berasaskan pengalaman lapangan. Sinergi antara kepakaran akademik dan amalan profesional ini telah meningkatkan keberkesanan penyampaian kursus secara menyeluruh.

Majlis penutup kursus menyaksikan komitmen tinggi peserta yang menunjukkan peningkatan keyakinan serta kompetensi dalam melaksanakan tugasan siasatan. Kejayaan program ini sekali gus memperkukuhkan peranan UUM sebagai rakan strategik dalam pembangunan kapasiti sumber manusia negara.

Penglibatan aktif ahli akademik seperti Dr. Rajwani membuktikan bahawa UUM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, malah terus relevan dalam menyumbang kepakaran kepada keperluan industri dan agensi penguatkuasaan negara. – Khairul Anuar Ahmad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button