Pelajar UUM dalami proses hasil sagu dan seni anyaman tradisional Thailand
Berita dan gambar Faisal Zulhumadi
PHATTHALUNG, 13 Mei 2025: Program Mobiliti Antarabangsa SEFB x INASIS SME Bank ke Thaksin University (Kampus Phatthalung) menyaksikan pengisian bermakna menerusi bengkel kebudayaan yang memfokuskan kepada dua aktiviti utama iaitu pemprosesan sagu dan seni anyaman krajood (nama saintifik Lepironia articulate).
Pegawai Pengiring, Dr. Rozana Samah berkata, sesi ini memberi peluang kepada peserta dari Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk merasai sendiri keunikan warisan budaya Thailand Selatan serta memahami kaitan antara sumber semula jadi, amalan komuniti dan potensi ekonomi tempatan.
Menurutnya, bengkel dimulakan dengan sesi pemprosesan sagu secara menyeluruh di mana peserta diperkenalkan kepada proses mendapatkan pati sagu daripada batang pokok rumbia, yang bermula dengan aktiviti memarut batang sagu, mengekstrak pati melalui rendaman dan penapisan, sehingga ke peringkat akhir penyediaan makanan.
Pati sagu yang telah diperoleh digunakan untuk memasak pencuci mulut tradisional yang manis dan bertekstur lembut. Para peserta bukan sahaja mempelajari kaedah penghasilan bahan makanan berasaskan alam, malah turut menikmati hasil tangan sendiri dalam suasana santai dan penuh kerjasama.
Sesi seterusnya, bengkel anyaman krajood, sejenis rumput paya yang telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan dalam penghasilan produk kraftangan. Di bawah bimbingan penduduk tempatan, peserta didedahkan kepada teknik penganyaman kepada bentuk seperti bakul, tikar dan aksesori. Aktiviti ini menguji kesabaran dan ketelitian peserta, sekali gus memperlihatkan nilai estetika dan ketukangan halus dalam setiap hasil buatan tangan.
Kedua-dua bengkel ini bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada budaya dan kemahiran komuniti setempat, malah menggalakkan mereka menghargai konsep kelestarian dan inovasi berasaskan sumber semula jadi. Para peserta menyatakan rasa kagum terhadap kebijaksanaan komuniti dalam mengurus sumber alam bagi tujuan makanan dan kraftangan, serta bagaimana tradisi ini boleh terus diperkasakan sebagai sumber ekonomi dan identiti budaya.
“Pendedahan sebegini penting untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan global, tetapi juga celik budaya dan menghormati kepelbagaian warisan masyarakat serantau.
“Interaksi antara pelajar dan komuniti tempatan membuka ruang kepada pertukaran ilmu yang lebih bermakna dan bersifat jangka panjang,” katanya.
Program mobiliti ini diteruskan dengan pelbagai lagi aktiviti menarik termasuk lawatan pelancongan dan sesi akademik, selaras dengan objektif memperkukuh jaringan antarabangsa serta pembangunan pelajar secara holistik melalui pendekatan pembelajaran rentas budaya.