Education

Perkasa graduan UUM, CUIC bersama PPKKG dan STML jalin kerjasama dengan DHL APSSC

Gambar CUIC

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dan Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Logistik (STML) telah mengadakan kunjungan rasmi ke DHL Asia Pacific Shared Services Centre (DHL APSSC) bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan.

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, bersama Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, dan Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh.

Lawatan ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan dua program utama pembangunan pelajar iaitu School of HardKnocks (SOHK) dan Program Elite STML.

School of HardKnocks merupakan inisiatif unik berasaskan pembelajaran melalui pengalaman kerja sebenar, yang memupuk kemahiran insaniah, kepimpinan dan kecekapan bekerja dalam suasana korporat sebenar, Manakala Program Elite STML pula dirangka khusus untuk membangunkan pelajar berprestasi tinggi dalam bidang pengurusan rantaian bekalan dan logistik.

Business HR dan APSSC CIS Country Champion, Saiful Nahar Mohd Rusli berkata, pihak DHL APSSC menyambut baik inisiatif yang dibentangkan dan menyatakan komitmen untuk meneroka kerjasama jangka panjang merangkumi latihan industri, pementoran, ceramah profesional, serta penyelidikan kolaboratif.

Perbincangan turut menyentuh keperluan penyelarasan kurikulum agar lebih relevan dengan kehendak industri global yang pesat berubah.

Kerjasama ini sejajar dengan hasrat UUM untuk memperkukuh ekosistem pendidikan yang responsif, holistik dan berdaya saing, serta memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut bersedia dari segi kemahiran dan pengalaman industri.

Perbincangan ini turut disertai Ketua Sumber Manusia DHL SSC, Tharaka De Silva. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button