UUM meterai MoU bersama Jabatan Warisan Negara, fokus perkasa warisan dan sejarah negara
Gambar Mohd Fuad Hamid
PUTRAJAYA, 15 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi antara universiti awam yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) yang berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), petang tadi.
UUM diwakili oleh Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib serta Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.
Selain UUM, majlis menandatangani MoU tersebut turut melibatkan beberapa universiti awam lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Turut terlibat ialah beberapa agensi strategik termasuk Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.
Majlis bersejarah ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa MoU kali ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan siri pertama kerjasama antara JWN dan 11 universiti awam yang dimeterai pada tahun 2023.
Menurutnya, usaha ini bertujuan memperkasa agenda pemeliharaan warisan bukan sahaja di peringkat kementerian, malah diperluaskan ke seluruh negara.
“Selepas dua tahun pelaksanaan, JWN kini membuka lembaran baharu dengan melibatkan rakan-rakan strategik baharu dalam memperkukuh persefahaman ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa JWN kekal komited dalam usaha memelihara khazanah negara dengan kerjasama strategik merangkumi tujuh bidang utama, iaitupemuliharaan dan pemeliharaan tapak warisan kebudayaan; penyelidikan berkaitan warisan dan budaya; pewartaan dan pembangunan tapak warisan; penilaian terhadap Penilaian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment); pembangunan modal insan termasuk pertukaran penyelidik dan pelajar; penempatan latihan industri serta promosi dan pengembangan warisan melalui pameran, galeri, seminar serta penyediaan sumber kepakaran dan bahan berkaitan.
Khairul Firdaus berkata, kerjasama ini merupakan landasan kukuh dalam memastikan nilai warisan diterima, diperkasa dan dikekalkan.
Katanya, MoU ini bukan sekadar ruang untuk universiti, tetapi juga saluran kepakaran yang mampu menyumbang kepada pembangunan program akademik yang berpotensi menjana peluang pekerjaan masa hadapan.
Sementara itu, Dr. Mohamad Khadafi menjelaskan bahawa MoU ini, yang bakal berlangsung selama dua tahun, akan menumpukan kepada bidang sejarah, warisan dan bahasa.
“UUM mempunyai kepakaran tersendiri dalam aspek pendokumentasian sejarah termasuk sejarah bangunan, landskap serta aspek perundangan negeri-negeri di Malaysia.
“Melalui MoU ini, kita akan mengadakan perbincangan bagi menganjurkan seminar, penyelidikan serta pelaksanaan program berteraskan warisan negara dan sejarah,” katanya.
Majlis ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kolektif memperkukuh jati diri negara melalui pemeliharaan dan pengembangan warisan kebangsaan.