Campus

UUM-UniSZA bersama perkasa standard akademik pascasiswazah

Berita dan gambar Rohani Abdullah

SINTOK, 15 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengukuhkan sinergi akademik melalui satu sesi perbincangan strategik bagi memartabatkan kualiti dan tadbir urus program pascasiswazah di kedua-dua institusi.

Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Pusat Swaakreditasi UUM baru-baru ini memfokuskan kepada perkongsian amalan terbaik (best practice) dalam tadbir urus program akademik antara UniSZA dan UUM.

Sesi perbincang ini dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Swaakreditasi UUM, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, manakala UniSZA diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Madya Dr. Is Mutiah Sobihah Abd Halim.

Dr. Zulkiflee berkata, perkongsian ini bertujuan memperkasakan aspek tatakelola melalui sistem pengurusan yang telus, cekap dan berintegriti bagi memastikan penyampaian perkhidmatan akademik yang lebih berkesan khususnya di Pusat Pengajian Siswazah di kedua-dua universiti.

Selain aspek teknikal, kedua-dua pihak turut menyentuh agenda pemantapan jaminan kualiti program akademik agar selari dengan transformasi dan evolusi pendidikan tinggi arus perdana bagi memenuhi piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta tuntutan kecemerlangan akademik di peringkat global.

Pertemuan ini mencerminkan komitmen jitu UUM dan UniSZA dalam memastikan ekosistem pengajian pascasiswazah kekal relevan dan berkualiti.

Kerjasama strategik ini dijangka bakal menghasilkan inisiatif susulan yang memberikan impak besar kepada pembangunan modal insan di peringkat nasional dan global.

Turut bersama di dalam sesi ini adalah wakil daripada Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) iaitu Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Selvan Perumal dan Pengarah Akademik, OYAGSB, Dr. Norkhazzaina Salahuddin serta Muhammad Khairul Munawwar Ismail wakil daripada Unit Pengajian Siswazah (UPS), Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button