Education

Pelajar SOE harumkan nama universiti di pentas antarabangsa dalam IMInE 2.0

Gambar Sharina Lilyani Mohamad, Muhammad Aiman Muharram Maizul Akmal, Nurfazliza Khairina Ahmad Fuad, Mohamad Harris Zufayri Mohd Rizal dan Nur Sabrina Sapri

SHAH ALAM, 16 April 2026: Sinergi strategik antara beberapa pusat tanggungjawab (PTJ) di Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membuahkan hasil apabila pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) berjaya mencatat kejayaan membanggakan dalam pertandingan Innovation Millennipreneur Innovation & Commercialization Exhibition 2.0 (IMInE 2.0) yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Penyertaan ini diselaraskan oleh Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM, yang telah menghantar enam wakil pelajar SOE iaitu Muhammad Aiman Muharram Maizul Akhmal, Nur Sabrina Sapri, Sharina Lilyani Mohamad, Nurfazliza Khairina Ahmad Fuad dan Mohamad Harris Zufayri Mohd Rizal bersama mentor projek, Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi.

Pertandingan anjuran Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan hampir 500 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan Filipina.

Dalam pertandingan berprestij tersebut, pasukan UUM berjaya mengharumkan nama universiti apabila merangkul empat anugerah utama sekali gus, iaitu Pingat Emas (Gold Award), Naib Juara Kategori Education and Learning (Top 5), Anugerah Khas Best Innovative Idea dan Anugerah Khas Best Exhibition Booth.

Dr. Norliza berkata, kejayaan ini diraih menerusi inovasi bertajuk PeerSpace, sebuah platform berasaskan web yang mengetengahkan pendekatan baharu dalam pendidikan melalui konsep peer-to-peer learning atau pembelajaran rakan sebaya.

Menurutnya, platform tersebut dibangunkan hasil penelitian terhadap cabaran sebenar yang dihadapi pelajar universiti dalam mendapatkan bimbingan akademik secara fleksibel dan berpatutan.

Melalui PeerSpace, pelajar dapat mencari tutor rakan sebaya dengan lebih mudah, pada kos rendah serta waktu yang sesuai, di samping memberi peluang kepada pelajar lain membangunkan potensi diri sebagai pembimbing akademik.

“Kejayaan PeerSpace merupakan kesinambungan kepada program inkubator keusahawanan pendidikan yang mula dibiayai oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM pada 2025.

“Di bawah program inkubator SOE yang dikenali sebagai Edupreneur Guru Evo, beberapa kumpulan pelajar berpotensi dalam bidang inovasi berimpak komersial telah dikenal pasti dan dibimbing secara sistematik. Program tersebut turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.

“Sokongan ICC dan CEDI menjadi pemangkin utama kepada kejayaan program inkubator inovasi keusahawanan pendidikan ini. Kami berharap lebih ramai pelajar SOE tampil membawa idea inovatif agar dapat dibimbing, diperkasa dan dikomersialkan melalui kerjasama strategik bersama ICC, CEDI serta agensi luar. Semoga sinergi antara PTJ di UUM terus memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sepanjang pertandingan, peserta turut didedahkan dengan pengalaman berharga melalui sesi pitching bersama panel juri profesional daripada industri dan akademia, selain berpeluang bertukar idea, membina jaringan strategik serta memperluas kolaborasi bersama peserta dari dalam dan luar negara.

Pengalaman ini memberi impak besar kepada pelajar inkubator SOE dalam memperkukuhkan kemahiran penyelidikan, inovasi, komunikasi dan keusahawanan, selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.

Sementara itu, Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen UUM dalam memperkasakan budaya inovasi melalui kerjasama erat antara SOE, CEDI dan ICC.

Kejayaan sebegini merupakan antara contoh bagaimana pendekatan kolaboratif antara pusat tanggungjawab di UUM penting bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi universiti terus mempunyai nilai komersial, impak sosial serta pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa. – Prof Madya Dr. Norliza Kushairi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button