UUM bantu jana ekonomi komuniti di empat Kem ATM dengan projek bernilai RM570,000
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 15 April 2026: Dalam usaha memperkasakan ekonomi komuniti, Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengambil langkah proaktif menerusi pelaksanaan projek di bawah Program Ekonomi Madani melalui peruntukan geran berjumlah RM570,000.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, Projek Komuniti Kem Angkatan Tentera Malaysia atau Program Ekonomi Madani merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH).
Menurutnya, kolaborasi tersebut membuktikan bahawa universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi ejen perubahan yang berperanan terus kepada masyarakat, khususnya Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat).
“Pada tahun ini, UUM telah dilantik oleh KPT untuk melaksanakan empat daripada 52 projek di empat kem ATM yang melibatkan Projek Madu Kelulut (RM140,000) di Kem Bukit Kayu Hitam, Projek Fertigasi Sayuran (RM330,000) di Kem Sungai Petani dan Kem Pengkalan Hulu serta Projek Akuaponik Talapia dan Produk Retort (RM100,000) di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

“Kerjasama strategik ini amat signifikan dalam memastikan ilmu yang dihasilkan di universiti dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada komuniti, khususnya warga ATM untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti di Kem ATM terpilih. Inilah manifestasi sebenar ‘Ilmu Budi Bakti’,” katanya di Majlis Penyerahan Geran dan Pelancaran Pelaksanaan Projek Komuniti Kem ATM 2025 di EDC-UUM, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat Pengkalan TLDM Lumut, Kepten Syanaz Ibrahim menegaskan bahawa program komuniti tersebut merupakan langkah bersejarah dalam merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan pelaksanaan di lapangan.

“Program ini membuka ruang kepada warga ATM untuk meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan dan memperkukuhkan institusi keluarga, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negara,” katanya.
Antara projek utama yang dilaksanakan termasuk keusahawanan akuaponik talapia dan retort yang dilihat berpotensi menjana pendapatan mampan kepada komuniti setempat.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam menyifatkan pelaksanaan projek ini sebagai simbol kepercayaan dan komitmen pelbagai pihak dalam membangunkan komuniti secara inklusif.

Menurutnya, program yang turut melibatkan pelbagai universiti awam itu dijangka memberi impak berterusan, bukan sahaja kepada warga ATM, malah kepada masyarakat secara keseluruhan melalui pendekatan kolaboratif yang mampan.
“Pelaksanaan inisiatif ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi tidak terhenti di menara gading, sebaliknya dimanfaatkan secara langsung demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut diadakan penyerahan simbolik projek dan penyampaian cenderahati kepada ketua penyelidik dan wakil Kem ATM.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan pegawai-pegawai kanan ATM.



