Pelajar UUM wakili Malaysia ke Commonwealth Youth Development Summit 2026 di Oxford
Berita dan gambar oleh: Sharvin A/L Thangaraj
UNITED KINGDOM, 15 April 2026: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti dan negara apabila berpeluang mewakili Malaysia ke Commonwealth Youth Development Summit 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 11 April lalu di University of Oxford, United Kingdom.
Sharvin A/L Thangaraj, 22, pelajar semester enam, Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian UUM, berkata penyertaan dalam persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Commonwealth Youth Council (CYC) tersebut merupakan satu pengalaman berharga yang membuka ruang kepada beliau untuk berinteraksi dengan pemimpin belia, pembuat dasar serta pelbagai pihak berkepentingan dari negara-negara Komanwel.

Menurutnya, platform berkenaan memberi peluang kepada peserta untuk membincangkan pelbagai isu penting berkaitan pembangunan belia, kesejahteraan, daya tahan ekonomi serta kerjasama dasar di peringkat global.
“Sepanjang program ini, saya aktif mengambil bahagian dalam sesi perbincangan dan pembentangan dasar, di samping menyuarakan pandangan serta aspirasi belia Malaysia di pentas antarabangsa.”
“Saya berasa amat bersyukur dan bangga kerana diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia dan UUM. Pada masa yang sama, pengalaman ini turut mencabar diri saya untuk lebih berani bersuara serta yakin dalam berkongsi perspektif di peringkat global. Kita juga tidak boleh sesekali memandang rendah apa jua usaha, kerana setiap langkah kecil, apabila digerakkan secara bersama, mampu membawa perubahan yang besar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyertaannya ke program berprestij tersebut mendapat sokongan dan tajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang banyak membantu merealisasikan penglibatannya di peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, penglibatan dalam sesi perbincangan strategik turut memberi peluang untuk menyumbang idea berkaitan isu-isu seperti pengangguran belia, akses kepada peluang ekonomi, serta keperluan memperkukuh penyertaan belia dalam proses pembuatan dasar, khususnya bagi golongan dari kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir.
Beliau turut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu langkah penting dalam memperkasa keupayaan mahasiswa untuk berfikir secara kritis, berdaya saing serta berperanan aktif dalam perbincangan global.

Penyertaan Sharvin dalam program berprestij ini diharap dapat meningkatkan lagi imej dan reputasi UUM sebagai institusi yang melahirkan graduan berdaya saing serta aktif di peringkat antarabangsa, selari dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh penglibatan global dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, pencapaian ini juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk berani mencabar diri, melibatkan diri dalam platform antarabangsa, dan menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang lebih inklusif dan mampan.



